Siapa yang perlu kekebalan: Institusi diRaja atau Raja? ~ Malaysiakini

bismillahBismillah Al-Rahman Al-Rahim

Mengadap Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, yang bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaanya.

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh

Seri Paduka Baginda Al-Wathiqu Billah Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanu Wataala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraannya.

Pertama sekali, izinkan patik selaku rakyat marhaen untuk menyampaikan rasa gembira dan bangga patik kerana dapat terus berada di tanah naungan dan jajahan Tuanku.

Ampun Tuanku,

Sembah patik ini harap diampun. Terhasilnya warkah ini adalah ekoran daripada lahir kegusaran dalam benak patik akibat keadaan semasa yang semakin meruncing di tanah penuh rahmat ini. Patik percaya pembesar-pembesar negeri serta penasihat-penasihat Istana tentu sudahpun memaklumkan kepada Tuanku akan beberapa perkara penting yang semakin hari semakin terhakis kekebalannya dan kesuciannya.

Arakian, telah tertulis dalam media-media dalam negara saban hari berita-berita yang mempersoalkan mengenai kedudukan Melayu, keistimewaan Melayu dan juga soal Agama Rasmi negara ini iaitu Islam. Sejak kebelakangan ini, makin ramai dikalangan kami pacal yang hina ini yang berfikiran mereka tahu segala apa yang berlaku sekarang ini, ada pula dikalangan mereka yang percaya hanya mereka sahaja yang benar-sebenarnya.

Ampun Tuanku,

Tujuan patik menulis adalah untuk memohon pertimbangan dan kebijaksanaan Tuanku agar keharmonian dan keselamatan negara ini sentiasa terjamin. Jauh sekali di hati patik ingin melihat tanah jajahan Tuanku ini bergolak akibat kegelojohan sesetengah pembesar-pembesar negara yang bertelagah antara satu sama lain. Minta dielakkan Ilahi daripada berlakunya perselisihan antara kaum dan agama yang semakin hari kelihatan seolah-olah meniti di gigi ombak yang pada bila-bila masa mampu berubah menjadi ombak tsunami.

Apa maknanya kesucian Agama Islam yang dipertahankan bukan hanya oleh institusi diRaja negara ini, malahan termaktub dalam perlembagaan jika mereka yang bukan ahli mengenainya boleh mempertikaikan sesuatu yang bukan merupakan bahan kepakaran mereka. Sayugia diberitakan ada wujud usaha daripada anasir-anasir tertentu yang ingin tidak senang dengan kedudukan Islam.

Majlis mufti kebangsaan telah menjadi bahan kritikan dan alat propaganda politik sesetengah pembesar negara yang secara terang-terangan cuba untuk mengelirukan maksud dan tujuan fatwa tersebut diwartakan. Patik berasa amat sedih apabila perkara agama ini yang dipayungi Tuanku sudah tidak lagi dihormati. Yang menyedihkan patik lagi adalah apabila fatwa ini dikatakan ‘bodoh’ oleh mereka yang tidak faham.

Menjunjung kasih Tuanku,

Beberapa hari yang lalu, salah seorang dikalangan Raja-Raja Melayu telah menitahkan agar kekebalan Raja dikembalikan kepada Raja. Izin patik menyampaikan pandangan patik mengenai perihal ini. Jika sekarang, hal-hal berkaitan agama Islam sudah mula dipertikaikan, keistimewaan Melayu selaku rakyat terbanyak di tanah ini sudah mula dipandang ringan, diperkecilkan dan menjadi alat untuk meraih sokongan politik pembesar-pembesar tertentu, apakah institusi diRaja masih lagi dipandang seperti tidak lama dahulu.

Ampun Tuanku,

Patik masih ingat dahulu, demi cita-cita politik masing-masing, segerombolan rakyat dari kumpulan tertentu telah berarak ke Istana Tuanku untuk menyampaikan memorandum kepada Tuanku. Kumpulan yang sama ini jugalah yang menyahut titah seorang Raja Melayu yang inginkan kekebalan kepada Raja dikembalikan semula. Kumpulan ini juga yang menjanjikan ianya akan dikembalikan jika mereka berkuasa. Patik mohon ampun jika patik mencadangkan sesuatu yang agak kasar, patik rasa tindakan mereka ini tidak ubah seperti menjadikan institusi diRaja sebagai alat politk sama seperti mana mereka mempermainkan hal agama dan kedudukan Melayu di jajahan Tuanku ini.

Pada pandangan patik, kekebalan Raja dan Institusi diRaja tiada maksudnya jika kedua-dua entiti ini dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu seperti yang patik huraikan diatas. Patik merasakan bahawa kekebalan Raja dan Institusi diRaja lahir daripada hubungan rakyat dan Tuanku yang sudah terjalin sekian lama. Patik yakin masih ada dikalangan rakyat terutamanya berbangsa Melayu yang akan sentiasa menjulang daulat Tuanku. Institusi diRaja dan Raja akan sentiasa kebal, patik yakin dan berani mempertahankan Institusi diRaja yang telah banyak berjasa kepada rakyat negara ini. Kekebalan ini bukan lahir daripada perlembagaan ciptaan manusia, tetapi bermula daripada prinsip kesucian Islam yang akan terus dipertahankan dan kedudukan bangsa Melayu yang akan sentiasa diperkuatkan melalui perjuangan semangat kebangsaan yang berterusan.

Ampun Tuanku,

Pepatah Melayu ada menyebut, “Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah”, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Patik percaya dan sangat bersyukur dianugerahkan Ilahi Tuanku yang adil lagi bijaksana untuk menaungi rakyat di negara ini. Patik juga sangat yakin, rakyat akan mengukuhkan muafakat untuk memastikan Institusi diRaja dan Raja di negara ini akan dipertahankan daripada diperalatkan golongan tertentu, dan juga memastikan kekebalan Institusi diRaja ini akan terus menjadi perjuangan kami, rakyat Tuanku.

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan doa kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agond dan seluruh kerabat Tuanku sekalian dilanjutkan usia dan berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan selama-lamanya.

Amin Ya-Rabbal-Alamin

Patik dengan segala hormat takzimnya

Ruzaimi Ramza Ramli

Malaysiakini:-

PKR janji kembalikan kekebalan raja

5 responses to “Siapa yang perlu kekebalan: Institusi diRaja atau Raja? ~ Malaysiakini

  1. alahai politik. Mereka sanggup buat apa saja tanpa kira prinsip dan rasionalnya, yang penting mereka dapat populariti dan boleh menang dan berkuasa.

    Zaman manusia yang celik dan cerdik ini, darjat dan kemuliaan bukan lagi terletak kepada keturunan.

    Hanya ada beberapa negara saja didunia ini yang masih mahu mengekalkan raja.

    Pernah dikatakan separuh dari raja yang ada di dunia ini adalah berada di Malaysia.

    Apakah kita mahu mengambil langkah kebelakang untuk kembali ke zaman purbakala.

    Raja yang sedia ada ini pun kita dah tak sanggup menanggung beban kerenahnya, janganlah ditambah-tambah beban tu lagi.

    Saya tak pasti entah berapa banyak negara kita kena keluarkan belanja nak maintain raja kita. Duit tu datang dari mana yer?

  2. pembaziran wang cukai

  3. Artikel tak menjawab tajuk…

    Melayu jugak yang sokong perabih wang cukai.

    Maintain tidak menjadi masalah besar sebenarnya, tapi apa sumbangan yang diberikan sekarang? Majlis Fatwa pun membelakangi mereka. Itu lagi DERHAKA.. Harap ditimpa TULAH….

  4. LaksamanaBentanII

    Salam,

    Institusi Raja di Malaysia agak unik. Hasil perkaitan nilai sejarah, penjajahan dan pola baru masyarakat merdeka. Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri masing-masing telah menjelaskan fungsi & amalan Raja-raja Melayu. Dari segi catatan dalam buku semuanya jelas, rakyat maklum.

    TETAPI, dari segi praktik & realiti, fungsi & amalan Raja-raja Melayu mungkin dilihat banyak keralatannya berbanding konsep asal.
    Para Raja & kerabat diraja yang pernah terlibat dengan berbagai kerenah dan amalan yang tersasar dari asas kewujudan dan fungsi institusi diraja telah membuatkan nilai kesetiaan rakyat dan pendaulatan kepada institusi diraja terhakis.

    MASYARAKAT MALAYSIA DEMOKRATIK hari ini sudah agak terbuka dan nilai-nilai feudalisme kono amat tidak serasi dan kontradik dengan pola baru rakyat Malaysia moden.

    Amalan politik dan tadbiran Malaysia selepas merdeka sehingga kini masih dilihat agak pincang dari segi prinsip masyarakat demokratik, negara berperlembangaan, konsep “separation of power”, menghargai nilai intelektual, penghormatan hak-hak rakyat dan akauntabiliti penguasa.

    Kepincangan politik dan keresahan rakyat ini tidak dihirau oleh pihak para penguasa negara. Maka rakyat sedang mencari-cari jawapan yang lebih realistik untuk membetulkan semula ASAS NEGARA MALAYSIA pada landasan yang betul.

    Oleh itu “Institusi Raja” dan “Institusi Rakyat” perlu dipermantapkan supaya barang yang keruh dijernihkan, barang yang silap dibetulkan, barang yang ragu diyakinkan………………..

    Institusi Raja mesti didaulatkan atas prinsip syarak yang berpaksi alQuran dan AlHadist, berperlembagaan dan konsep syura, kepimpinan ulamak dan intelektual, dan kecintaan kepada rakyat dan negara. Ianya perlu ditulis, difahami dan dihayati sepenuhnya. Insya Allah, kedaulatan Raja disisi Allah dan rakyat akan terpelihara.

    Institusi Rakyat: Parlimen, perundangan, ketua eksekutif kerajaan, kehakiman, struktur dan amalan pentadbiran negara, dan semua institusi rakyat perlu saksama dan progresif.

    Hubungan Institusi Raja dan Institusi Rakyat perlu jelas telus, layanan adil dan penuh kasih sayang- “tanpa berpihak dan pilih kasih” yang menyebabkan ada “sebahagian rakyat teraniaya” sudah lebih 50 tahun ………….. oleh penguasa-penguasa parti-parti yang memerintah, ISA, Kehakiman, SPR, PDRM, BPR, agensi-agensi kerajaan yang korup dan membazir, dan lain-lain.

    Daulat Tuanku, Bahagia Hamba Rakyat.
    Patik pacal marhaen, pohon ampun barang yang khilaf.

  5. Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.

    Institusi Raja semacam tenggelam timbul. Di kala parti politik nan satu berkuasa dan disokong oleh rakyat jelata, institusi ini tiada diambil kira secara sepatutnya. Namun di kala parti ini disanggah oleh orang Melayu dan parti kehilangan taringnya, maka institusi ini dimanipulasi kembali. Andai tiada ribut politik, Raja bertitah, siapa mendengar. Sekadar muncul sebagai berita utama dipapar di muka hadapan warta perdana, tidak kurang, tidak lebih.

    Bagai di persimpangan.

    Tidak diluah isi hati, nanti dikatakan di mana fungsi Raja.

    Tapi diluah, tiada parti politik yang menyambut. Melainkan parti politik yang tersepit menyambutnya di masa yang sesuai. Manipulasi manipulasi manipulasi.

    Rakyat menjadi saksi, namun apakah daya rakyat melawan Raja, dan Perlembagaan. Sudah menjadi resam Melayu, berani hanya di belakang, di depan kecut perut. Tiada revolusi menjadi realiti di sini. Tiada Bastil yang akan dipecah oleh rakyat. Tiada Jamuan Teh ala Boston di sini.

    Raja adalah simbol kekuatan dan kesatuan rakyat, terutamanya orang Melayu. Jika kita tidak menyokong Institusi ini, tiada siapa yang akan melakukannya.

    Namun tidak mustahil faktor Raja suatu hari nanti tidak akan menjadi faktor terpenting dalam menentukan kekuatan dan kesatuan Melayu. Apakah yang akan terjadi nanti? Porak-perandakah rakyat?

Leave a reply to Harlequin Cancel reply