Cendol Pulut Tapai Stadium

Minggu lepas riuh seluruh Kota Bharu, ada perhimpunan mengangkat bakal Perdana Menteri baru untuk Malaysia. Ramai orang kata calon PM baru ni ada wibawa, ada gaya, segak pandai juga menyanyi. Sekali-sekali keluar juga bait-bait lagu Oh Azizah dia dendang belakang rostrum. Boleh tahan suara dia. Tapi kalau nak ukur merdu suara, baik ambil Siti Nurhaliza jadi PM. Itu pun kalau rakyat sedia PM dari kaum Hawa. Sekurang-kurangnya tak ada orang cuba nak palit reputasi dengan tuduhan sodomi.

Aku parking motor cabuk C50 Boon Siew betul-betul bawah pokok ceri Malaysia, tepi kandang Tenis. Memang macam kandang, tak terjaga. Dulu lagi teruk, masa aku belajar pukul bola tenis, kalau bola lepas pagar, masuk longkang memang kira langsai la. Longkang penuh najis, aku tak tipu, memang najis. Najis manusia to be exact. Macam tu la negeri Serambi Mekah, longkang Serambi Tinja. Kotor.

Ok, nostalgia.. nostalgia.. Berbalik kepada perhimpunan paling dinanti-nanti di KB ni, seminggu sebelum program ni, dah ada roadshow satu Kelantan, nak promosi. Memang ramai yang datang, ramai yang nak tengok dengan mata kepala sendiri bakal PM yang ‘labu betis bak bunting keladi’ ni. Yang tu bukan aku cakap, tapi ex-schoolmate dia yang cakap.

Dari luar dah dapat dengar gema orang bersorak, berteriak, bertempik. Ada juga tepuk tangan, tapi jarang-jarang pula dengar Takbir. Kalau dekat Putik, selang satu ayat, Takbir. Belakang tabir, si penceramah tu nafkah isteri pun tak kasi. Takbir je la.

Memang riuh KBTC yang baru siap tu, cantik juga bangunan tu. Kalau Bazar Tok Guru siap nanti, macam tu juga lah cantik nya gamaknya. Siapa kata KB tak membangun, KB maju cuma kotor je. Kalau tegur kata tak patriotik negeri, tapi aku tahu la negeri aku. Silap-silap kalau terlebih tegur, DPPWP suruh aku pergi tarbiyah, macam dia suruh anak-anak buah bakal PM tu sebelum angkat jadi calon P/raya.

Semakin dekat aku dengan pintu masuk KBTC tu, makin keliru fikiran aku. Yang aku dengar ni macam pernah ku dengar, tapi dimana ye? Aku lambatkan niat aku nak masuk, aku jalan-jalan tengok sekeliling. Meriah. Macam karnival konvokesyen USM. Perhatian aku tertumpu pada satu kelompok manusia yang mengeremuni seorang lelaki berusia 60an, segak, tegap dan lantang berceramah. Dalam hati aku perli, orang kat dalam sibuk ceramah politik, dia kat luar pun naik sheikh!.

Aku berjalan perlahan-lahan mendekati kerumunan manusia itu. Dari jauh nampak bayang kemerahan pada rambut lelaki yang petah berbahas itu. Suaranya macam pernah aku dengar, ala Senator Boy tu. Atau sebaliknya aku pun tak tahu. Siapa tiru siapa, itu bukan isu.

Ada lebih kurang 4 hingga 5 lapisan manusia buat bulatan, kalau ikut laporan Utusan, mungkin jumlahnya 40 orang, tapi kalau baca Malaysiakini dengan Harakah mahu cecah 4000. Aku kira-kira 100 ada la, itu pun tak pakai kalkulator. Leka semuanya mendengar, ada juga perwakilan yang tangkap lentok dengar ceramah lelaki ni. Lagi la aku tertanya-tanya, apa yang menarik sangat ni? Aku redah 4 lapisan manusia, sampai ke bulatan paling dalam, mengeluh panjang aku bila nampak apa yang tersusun atas tar, elok dilapik dengan kain velvet (bledu) merah.

Akar kayu!!!!!!!! Aku jerit penuh kesal dalam hati. Sia-sia aku redah bau ketiak, peluh masam hanya kerana akar kayu. Alang-alang dah bermandi peluh (peluh orang lain) aku dengar la juga, boleh pakai juga skil ceramah lelaki ni, boleh tarik perhatian orang ramai.

“Akarrrr kayu ni, akarrr asli tuan-tuan”, kata lelaki ni, dengan penekanan lebih pada huruf R. Aku catat pada buku 555 aku, aku tulis ‘sebutan R mesti gegarrrRRR’.

Dalam ramai-ramai yang kusyuk mendengar tu, ada seorang makhluk ni angkat tangan. Veteran Cina separuh abad, pakai baju pagoda, seluar pendek. Soalan dia mudah sahaja, dia tanya akar kayu ni ada buat kajian saintifik atau tidak?

Hampir semua terkejut daripada lamunan, seorang Cina yang sempoi melontarkan soalan yang sangat bernas. Ini lah beza mendengar dengan telinga, dan mendengar dengan minda. Yang pakai telinga, lena. Yang pakai minda, pandai.

Jawapan lelaki akar kayu ni paling aku respek, antara ya dan juga tidak. Tetapi ayat dia powerrrrrr..

“Bukti hasil uji kaji saintifik ada tuan-tuan, tetapi tiada sekarang, tiada di rumah saya, tiada dengan saya. Tetapi ada. Kita hanya tunggu mereka yang tak yakin dengan akarrr kayu saya ni buat laporan, baru kita keluarkan.”

Ada tapi tiada. Macam silap mata. Perlahan-lahan lelaki Cina tadi beredar meninggalkan kerumunan manusia tersebut. Aku pun macam dah boleh bau auta lelaki akar kayu ni. Aku pun mula ikut langkah apek separuh umur tadi. Sebelum aku cabut, sempat juga aku bau akar kayu tu, lantas aku membebel dalam hati, ‘patut la segak, tegap dan bertenaga lelaki tua ni, Tongkat Ali rupanya!’.

Alahai, terngiang-ngiang lagu Hai Obat yang P Ramlee nyanyi dalam filem Do Re Mi.

Aku bukan tak percaya akar kayu ada kesan homeopati, tapi kebanyakkan ubat herba ‘kelentong’ ni dicampur dengan steroid. 3-4 bulan makan, satu badan bengkak.

Berbalik kepada niat aku nak dengar bakal PM baru Malaysia berucap di KBTC. Aku melangkah laju sedikit, untuk mengelakkan diri daripada tersangkut di gerai-gerai kat depan pintu masuk tu. Berjaya juga aku masuk ke perkarangan pintu dewan. Kebetulan masa tu bakal PM baru Malaysia tengah berucap, dia tengah kritik kawan-kawan wakil rakyat yang dia pilih pakai tangan dia sendiri dulu, guna akai dia sendiri dulu, tapi sekarang dah tak kawan dengan dia dah. Ayat yang dia cakap ni membuatkan aku teringat kata-kata yang aku baru je dengar tadi.

“Kalau saya kata ada, bermakna ada… tetapi (bukti itu) tiada di rumah saya, tiada di pejabat saya, tiada dalam beg saya… tetapi ada,” di sahut tepukan gemuruh orang dalam dewan tu. Yang tak tepuk pun ada juga. Yang paling kuat tepuk tangan adalah orang yang betul-betul depan bakal PM baru Malaysia itu, dan yang di sekeliling beliau. Yang mana beliau boleh cam satu persatu. Lagi dipandang, lagi kuat tepukan, x sedar tapak tangan dah merah, kuku hampir tercabut.

Aku terus buat keputusan angkat kaki daripada dewan tu. Aku ingat kat luar je ada orang nak jual akar kayu, rupa-rupanya kat dalam pun sama. Ok lah, mungkin ‘benda’ ni bukan untuk aku kot.

Aku baru sahaja nak maafkan bakal PM baru Malaysia ini selepas dia tipu aku kaw-kaw 16 September dulu. Aku akan ingat tarikh tu, sebab hari tu hari Malaysia. Dengan persembahan yang ala penjual akar kayu ni, mungkin aku akan ambil lebih banyak masa untuk konsider. Kalau aku mahu.

Dalam kepala otak aku hanya ada satu benda sahaja yang boleh me’release’kan tension aku. Tak lain dan tak bukan, Cendol Pulut Tapai tepi kandang Tenis dekat Stadium Sultan Muhammad ke 4. Dengan teknik menyagat ais yang konservatif, tapai yang tak memabukkan, sirap dan cendol yang amat serasi, ternyata CPT kat sini adalah CPT terbaik pernah aku rasa.

Nota kaki: Cerita ni fiksyen yang ada sangkut paut dengan watak yang hidup dan juga yang mati.

Advertisements

One response to “Cendol Pulut Tapai Stadium

  1. duk alik mano kat boh duk kota bharu.bab kelate kotor tu kene akui lah.mmg kelate ni kotor dgn sampah sarah.Pelik tapi benar.Negeri serambi mekah tapi kebersihan out walhal kebersihan itu sebahagian drp iman.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s