Tag Archives: Kelantan

Kelantan: Nik Aziz, Ariffahmi Gate & Bola Sepak

Nik Aziz

1. 18 tahun Nik Aziz jadi Menteri Besar Kelantan, sepanjang aku hidup, hanya Nik Aziz yang jadi Menteri Besar negeri kelahiran aku.

2. Dalam ramai-ramai ahli politik Malaysia yang memegang kuasa lebih daripada 15 tahun adalah Tun Dr Mahathir, Samy Vellu, dan Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Dua sudah berhenti, dua lagi belum.

3. Perlu rasanya diberi peluang kepada orang lain. Makin lama makin rosak imej baik Nik Aziz. Bukan kerana tuan punya badan itu sendiri, tetapi orang-orang disekelilingnya. Termasuklah juga lelaki yang puteri Nik Aziz panggil suami.

4. Setelah lama memerintah, ada juga yang telah terlebih mengangkat Nik Aziz ini. Sehinggakan apabila Nik Aziz ini tersilap, pantang ditegur pantang dikritik. Yang melucukan, bukan Nik Aziz yang tak mahu terima teguran, tetapi manusia-manusia yang ingin menumpang pengaruh Tok Guru, seperti Anwar Ibrahim dan lain-lain.

5. Orang pertama yang perlu ditegur apabila melakukan kesilapan adalah golongan ulama’. Apatah lagi jika ulama’ itu seorang pemimpin kerajaan. Ayat-ayat seperti ‘jangan sentuh Nik Aziz’, ‘Andai saya kata MARA!’ dan sebagainya tak perlulah dilaung-laungkan. Kita tahu Nik Aziz telah melakukan kesilapan, iaitu dengan melantik menantu beliau sendiri memegang jawatan paling tinggi dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri.

6. Orang-orang PAS dulu panggil perangai ni NEPOTISME semasa menghentam Mahathir dahulu.

Ariffahmi Gate

1. Pendedahan berani Syed Azidi ‘Kickdefella’ membuka pekung yang sudah lama menutup bau busuk dada-dada sesetengah makhluk yang berselindung disebalik jubah dan minyak atar. Berbotol-botol minyak atar pun sudah tidak mampu nak menutup bau busuk itu.

2. Rakyat disuap dengan berita Kelantan adalah negeri yang bersih rasuah, korupsi dan salahguna kuasa. Namun, peristiwa pemecatan Kickdefella menandakan bermulanya pembongkaran satu demi satu salahlaku yang selama ini tersembunyi.

3. Ahli keluarga Nik Aziz berdiri dibelakang Ariffahmi, memang itu pun yang dijangkakan. Lumrah hidup berkeluarga, yang salah pada mata mereka semestinya orang diluar rumah.

4. Yang menarik dalam kontroversi ini adalah campurtangan exco tertentu yang dikatakan ingin menggantikan tempat Nik Aziz sebagai Menteri Besar. Siapa dia Exco itu, tanya Nik Amalina, puteri Tok Guru.

5. Menyedihkan, di tahun-tahun akhir Nik Aziz sebagai MB, imej beliau tercalar, rasa hormat mungkin sudah berkurangan, hanya kerana Nik Aziz tidak tahu dari segi moral salah melantik menantu ke jawatan yang bertaraf¬† ‘Datuk Bandar’. Namun, kenaifan bukan alasan, dalam politik ini peluang buat lawan.

6. Akan ada episod seterusnya, akan ada kontroversi baru. Jika Ariffahmi meletakkan jawatan hari ini pun, saya harap pembongkaran-pembongkaran ini tidak akan berhenti. Kepada yang berhati busuk, tetapi gemar mandi minyak atar tu, lambat laun akan terkantoi juga dan boleh la kita sama-sama campak dalam ‘air char’.

Bola Sepak

1. Pengurusan baru terbukti berjaya bawa nafas baru buat pasukan bolasepak Kelantan. Tan Sri Annuar Musa yang sudah tidak ada apa-apa jawatan dalam kerajaan negeri membuktikan beliau boleh mengurus pasukan bola sepak dengan baik. Urus negeri? Allah sahaja yang tahu.

2. Dulu ada satu kes penjaga gol, Halim Napi, sepak pemain lawan. Haramkan terus Halim Napi daripada pijak rumput Stadium Sultan Mohammad V tu. Budaya bolasepak itu sudah lama patut ditinggalkan. Bawa budaya baru, orang puteh kata ‘sportmanship’, menang macam ‘gentleman’, kalah pun mesti ‘gentleman’

3. Sayang sekali penyokong tenggelam dalam emosi yang melampau, macam Skinhead seronok dibuai lagu dendangan ACAB. Banyak perkara-perkara baik penyokong Kelantan yang patut ditonjolkan, bukannya amarah dan kependekan akal sehinggakan sanggup membakar kerusi dan memusnahkan harta benda. Tak kena langsung dengan title rakyat negeri Serambi Mekah.

4. Musim baru, pemain baru, azam baru, budaya pun kena baru. Harap dapat kita hidupkan suasana EPL dalam Liga Super. Apabila ‘match day’ kita akan tengok seluruh Kelantan lumpuh. Lumpuh sebab semua pun pergi ke Stadium.

Kelantan

1. Kelantan bukan hanya berkenaan Tok Guru, Ariffahmi dan Bolasepak. Kelantan perlu dijadikan pusat ekonomi rantau Timur.

2. Perancangan-perancangan Kerajaan Negeri bukan hanya untuk tontonan orang-orang terdekat sahaja sebaliknya perlu diumumkan kepada semua dan melibatkan semua.

3. Apa sektor yang boleh Kelantan banggakan, apa hasil utama pertanian negeri ini? Apa industri pembuatan utama Kelantan? Sektor pendidikan pula, adakah kita sudah mantap? Kemana arah kerajaan negeri selepas ini. Mungkin sama sahaja jika Menteri Besar pun sama.

4. With all due respect to Tok Guru, I think the time has come. Kelantan pun perlukan perubahan, perlukan ‘change’. Ada Obama Kelate yang sanggup?

Advertisements

Sehari bersama anak-anak Istimewa, yang Istimewa hanya pada nama.

Pada hari khamis yang lalu, bertempat di Taman Perbandaran Tanjung Chat, Kota Bharu, saya berpeluang untuk meluangkan masa ber’sukan’ bersama-sama anak-anak Pusat Asuhan Kanak-Kanak Spastik (PUSAKAS) Kelantan. Kira-kira 100 orang terlibat termasuklah anak-anak PUSAKAS, tenaga pengajar, staf sokongan dan juga beberapa orang sukarelawan, termasuklah saya.

Pengalaman meluangkan separuh hari bersama warga PUSAKAS bukan hanya memberikan impak yang besar kepada saya, malahan membuka mata saya akan kepayahan dan kesusahan yang dihadapi oleh anak-anak Istimewa ini. Yang dimaksudkan disini bukan kerana kekurangan fizikal dan mental mereka sejak lahir lagi, tetapi dari segi kedaifan dan kekangan-kekangan dari segi sokongan ekonomi, dan logistik yang mereka hadapi.

Malam sebelumnya, saya menerima panggilan daripada ‘Guru Besar’ PUSAKAS yang meminta saya membantu beliau untuk hari sukaneka tersebut. Tanpa banyak bicara, saya terus bersetuju. Secara kebetulan, ketika itu saya sedang menunggu pesawat AirAsia untuk pulang ke Kota Bharu.

Pada hari tersebut, saya tiba beberapa minit selepas jam 8 pagi dan melihat khemah-khemah pasukan sedang dinaikkan dan dihias, seperti hari-hari sukan di sekolah-sekolah biasa, mereka pun ada pasukan kuning, merah, hijau dan biru juga! Saya terus bertanyakan tugasan saya dan lekas untuk menyediakan peralatan-peralatan berkenaan.

Di tempat letak kereta, dua buah bas yang maha usang dilihat membawa anak-anak Istimewa ini, dan juga perkakas-perkakas yang diperlukan untuk sukaneka tersebut. Pasukan hijau membawa pokok-pokok bunga hiasan untuk diletakkan di khemah, pasukan kuning pula lengkap dengan rambu-ramba berkilat.

Anak-anak semua memakai baju mengikut warna pasukan masing-masing, tiada logo Nike, mahupun Adidas pada baju tersebut. Hanya kain kapas biasa dengan tulisan hitam PUSAKAS di belakang baju mereka. Saya gembira melihat mereka begitu teruja untuk beraksi! Perasaan gembira terus bertukar menjadi sedih melihatkan ada diantara mereka yang hanya mampu terlantar di atas tikar, ada pula yang berlari mundar-mandir tanpa tujuan.

Itulah, anak-anak Istimewa seperti yang kita juga ketahui dengan panggilan Orang Kurang Upaya (OKU).

Sambil saya menghakimi perbarisan masuk setiap pasukan saya sempat terfikir sejenak, apa itu maksud ‘Istimewa’ pada panggilan yang diberikan kepada mereka? Adakah kerana bentuk fizikal mereka ‘Istimewa’? Kerana mereka tidak mampu melihat, tidak mampu berjalan seperti biasa, ataupun tidak mampu berfikir seperti orang-orang yang normal?

Yang saya lihat dihadapan saya pada waktu itu adalah golongan kanak-kanak yang memiliki kekurangan fizikal dan mental dan tidak diberikan keistimewaan walau sedikit pun.

Istimewa pada pandangan kita yang normal adalah pakaian yang mahal, perhatian yang tidak pernah lekang, makanan yang sedap dan mewah. Itu adalah takrifan layanan Istimewa, namun adakah anak-anak Istimewa ini dilayan sebegitu rupa? Makanan tengahari mereka hanyalah mihun goreng pucat dan air sirap yang saya tidak nafi sedap, namun adakah itu hidangan Istimewa?

Sebaliknya saya bertanggapan istilah Orang Kurang Upaya perlu digantikan dengan Orang Kuat Upaya! Mereka berusaha lebih daripada orang normal untuk mendapatkan sesuatu yang ‘remeh’ pada pandangan orang normal.

Sebagai contoh, kita orang normal akan bising jika sistem penghawa dingin dalam bus rapidKL tiba-tiba rosak, tetapi orang normal ini tidak pernah pun lihat bas usang yang digunakan sebagai pengangkutan utama anak-anak Istimewa ini, guna aircon semulajadi sahaja!

Tidak cukup dengan kedaifan logistik, Pusat Asuhan ini juga amat terdesak dari segi kewangannya. Jika dilihat tajaan-tajaan yang diberikan untuk Akademi Fantasia contohya, jika hanya 1 peratus daripada jumlah tajaan tersebut disalurkan kepada anak-anak Istimewa ini, tentunya baju sukan mereka akan dihiasi dengan logo Nike mahupun Adidas, makin semangat anak-anak ini bersukan.

Eh, kita pun kalau baju pasukan futsal bukan Nike atau Adidas, mungkin ada yang tak mahu main.

Mungkin Kelantan negeri yang tidak seberapa kuat keadaan kewangannya, namun tak mungkin perkara-perkara seperti peruntukan untuk membantu golongan kurang upaya ini tidak dibentangkan dalam belanjawan negeri?

Kerajaan pusat pula jangan terlalu percayakan mereka yang dipertaggungjawabkan untuk menjaga kantung wang badan-badan kebajikan seperti ini. Seharusnya mereka memantau secara terus transaksi kewangan agar tiada yang ketirisan.

Golongan anak-anak Istimewa ini bukan hanya Istimewa apabila tiba pilihanraya, ataupun apabila untuk menunjukkan sokongan di Parlimen, saya ingat pada satu ketika dahulu, segerombolan orang-orang kurang upaya ‘menyerang’ Parlimen apabila Karpal Singh di’hina’ oleh salah seorang ahli Parlimen. DAP bingkas bangun untuk bersuara bagi pihak OKU, tapi hingga hari ini saya masih belum dengar suara sokogan DAP untuk PUSAKAS.

Memang benar saya tidak seharusnya membuat tuduhan terpilih seperti ini, namun ini hanyalah sebagai contoh pembuka mata bahawa kadang-kadang apa yang ahli politik ini buat adalah untuk kepentingan mereka sahaja, tidak lebih daripada itu.

Natijahnya, anak-anak Istimewa PUSAKAS akan terus menggunakan bas-bas usang tersebut, mereka akan terus diberi layanan yang TIDAK ISTIMEWA walaupun diberi gelaran anak-anak Istimewa.

Mereka tidak mampu berjalan sejauh yang kita mampu, segelintir pula tidak punyai kemampuan untuk berfikir seperti insan normal, hidup mereka sebahagiannya (jika tidak sepenuhnya) bergantung kepada kita yang normal ini. Mereka Istimewa bukan kerana kecacatan fizikal atau mental yang mereka alami, tetapi kerana kewujudan insan-insan yang normal yang ingin memberikan sesuatu yang Istimewa buat mereka. Tidak kiralah dalam bentuk bantuan serta sokongan tenaga, kewangan, moral, logistik dan sebagainya.

Hadirkanlah bantuan kepada mereka, ukirkan senyuman pada wajah-wajah anak-anak Istimewa.

Mereka Istimewa bukan hanya pada nama….

p/s: Pujian dan Tahniah tidak terhingga kepada warga pengajar, staf sokongan serta sukarelawan yang sudi membantu, anda semua juga Istimewa kerana menjadikan hari anak-anak tersebut satu hari yang Istimewa.

Pusat Asuhan Kanak-kanak Spastik (Pusakas)
Rumah Sri Kenangan
Taman Kemumin
16100 Pengkalan Chepa,
Kota Bharu Kelantan
Tel: 09-7746118 Fax: 09-2234029