Tag Archives: jalanraya

Destinasi Barzakh

Pertama, takziah buat ahli keluarga yang terkorban dalam kemalangan yang melibatkan bas ekspres Sani di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Plaza Tol Ipoh Selatan beberapa hari lepas. Walaupun ajal maut itu di tangan Tuhan, manusia adalah makhluk yang paling sukar untuk meredhai pemergian insan tersayang. Yang berlalu, biarkan ia berlalu. Cuma jangan dibiarkan ia berlalu tanpa diambil iktibar dan pengajaran.

Kerapkali kita menghitung jumlah nyawa yang melayang diatas jalanraya, terutamanya di waktu perayaan dan cuti panjang. Bukan sedikit jumlah korban setiap kali musim perayaan menjelang tiba, beratus-ratus keluarga kehilangan ahli, beribu-ribu teman kehilangan sahabat. Keceriaan yang didambakan, tetapi malang sekali senyuman kaku mayat pula yang disambut.

Kenapa masih tiada penurunan jumlah kematian di jalanraya? Seolah-olah dalam statistik kematian, jalannya hanya sehala, iaitu menaik dan semakin menaik. Kempen yang meluas sudah dijalankan, Ops-Ops pihak berkuasa juga sudah pun dilaksanakan. Jalanraya pula sudah semakin elok, lebuhraya di Malaysia juga antara yang terbaik. Tetapi kenapa perjalanan masih belum selamat?

Seperti sudah ada skrip tetap, setiap kali kemalangan maut yang melibatkan banyak nyawa, pihak Polis akan membuat kenyataan akan memulakan siasatan, pihak kerajaan pula akan cuba sebaik mungkin menghulurkan bantuan kebajikan sewajarnya, dan pihak pembekal perkhidmatan (dalam kes ini Sani Ekspress) akan cuba untuk mempertahankan rekod baik syarikat tersebut. Dan yang menangis akan terus menangis.

Antara faktor utama yang menyebabkan kemalangan adalah faktor sikap manusia, kenderaan, jalanraya dan cuaca. Faktor manakah yang lebih banyak menjadi punca kemalangan? Tolak ketepi faktor cuaca yang manusia tiada kuasa untuk menentukan, manusia boleh menentukan kualiti faktor sikap ketika memandu, keadaan kenderaan dan jalanraya. Maka, titik tolak punca kematian yang semakin menjadi-jadi ini adalah manusia.

Nota ini akan memfokuskan kepada pengangkutan awam jarak jauh kerana biasanya lebih banyak nyawa yang berada dalam bahaya jika sebuah bas kemalangan berbanding sebuah kereta. Apakah jalan penyelesaiannya?

Pasang kotak hitam? Idea bagus, tapi di peringkat perlaksanaan dan aplikasi mungkin sekadar melepas batuk di tangga. Undang-undang jelas, tetapi tindakan kabur. Pengusaha yang hanya mementingkan keuntungan berlipat kali ganda dan pada masa yang sama memandang nyawa penumpang sekecil nyamuk, tidak wajar dibiarkan terus mendapat peluang untuk membuat keuntungan.

Bagaimana mungkin pengusaha boleh dibiarkan goyang kaki di rumah agam yang sebesar istana begitu sahaja, apabila penumpang pada setiap saat memikirkan kebarangkalian nyawa mereka akan melayang tatkala berada didalam bas? Apabila keselamatan mereka diperjudikan demi keuntungan, ini memang betul prinsip kapitalis bastard (anak haram). Perlu dilenyapkan terus dari muka bumi Malaysia ini.

Had laju? Pernah dahulu Samy Vellu cadangkan Had Laju dinaikkan daripada had laju sedia ada. Ambil sifir mudah, jika had laju 100km/j biasanya pemandu akan memandu 120km/j, 20km/j lebih daripada had laju. Mereka fikir tak mengapa jika lebih sedikit, lagipun meter kan analog, sukar untuk ditetapkan pada satu angka yang statik. Dan pelbagai alasan lagi. Cuba bayangkan jika had laju semakin tinggi, tentunya graf kematian di jalanraya akan melangit!

Bas perlu dihadkan kepada laju tertentu sahaja. Jika di Ireland, bas tidak boleh melebihi 100km/j dan pemandu mereka mematuhi had laju tersebut. Rasa saya di Malaysia sudah ada usaha kearah itu, namun sekali lagi, penyakit sukar untuk melaksanakan dan mengaplikasi peraturan yang cukup bagus dan berkesan itu telah menyebabkan kecelakaan. Jalan kosong tidak bermakna pemandu secara automatik bertukar menjadi pemandu F1!

Pemandu mengantuk? Ada sesetengah pemandu yang hanya berehat beberapa jam sahaja sebelum memandu untuk trip seterusnya. Ada juga yang bekerja berhari-hari tanpa henti. Walaupun badan nampak cergas, tapi otak akan shut down dengan sendirinya jika terlalu penat. Pemandu juga perlu diingatkan mengenai pentingnya menjaga kesihatan yang baik, rata-rata pemandu bas mempunyai body mass index (BMI) yang tinggi, dan risiko untuk menghidap obstructive sleep apnoea (OSA) adalah tinggi. Penyakit ini menyebabkan kualiti tidur terganggu, dan boleh juga membawa kepada masalah kekurangan tidur dan mengantuk ketika memandu.

Negara kerugian besar apabila nyawa warganya melayang begitu sahaja di atas jalanraya. Kecelakaan ini boleh dielakkan, dan sepatutnya dielakkan. Faktor manusia yang menentukan segalanya. Pihak pengusaha, pemandu, kerajaan, penumpang dan rakyat perlu memainkan peranan dalam memastikan peristiwa ngeri seperti yang berlaku di Ipoh tidak akan berulang lagi. Ajal maut di tangan Tuhan, tetapi pemasangan kotak hitam, mematuhi had laju, menjaga kesihatan dan kecergasan ketika memandu, memastikan kenderaan dalam keadaan terbaik sebelum perjalanan, pelaksanaan dan pengaplikasian undang-undang jalanraya, dan banyak lagi boleh ditentukan oleh manusia.

Hatta dalam keadaan cuaca yang buruk sekalipun kecelakaan masih boleh dielakkan jika pemandu berhati-hati dan mengamalkan pemanduan defensif dan berhemah.

Semuanya terletak dibahu kita. Lebuhraya bukan litar, anda juga bukan seorang pemandu F1.

Advertisements