Rekayasa UMNO ~ Ref Malaysiakini

Pertama kali saya mendengar ayat ‘rekayasa’ digunakan adalah pada perhimpunan Agung UMNO tahun lepas iaitu didalam ucapan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Perkataan ini, jika tidak silap saya, diterjemahkan daripada perkataan Inggeris, re-engineering. UMNO perlu direkayasakan, begitulah mesej Timbalan Presiden UMNO ketika itu.

Jelas sekali, ucapan orang nombor 2 dalam hierarki UMNO ini juga adalah merupakan satu retorik yang boleh juga diumpamakan sebagai masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kenapa saya berfikiran sedemikian? Jika ahli-ahli UMNO cakna dan responsif kepada saranan tersebut, sudah tentu UMNO tidak akan terjerumus dalam situasi kacau bilau ini. Bukan pula niat saya untuk menuduh ahli-ahli UMNO, sebaliknya seluruh gerak kerja UMNO mempunyai saham dalam merangka kejatuhan UMNO.

Usah dibicarakan peranan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Husam Musa dan lain-lain pemimpin PR, kerana sudah menjadi tugas mereka untuk memastikan kejatuhan UMNO.

Apakah  intipati proses merekayasakan UMNO?

Saya kategorikan kepada 3 perkara iaitu; 1. Pembersihan UMNO daripada najis rasuah, 2. Merakyatkan UMNO , dan 3. Peremajaan UMNO.

1. Membersihkan UMNO daripada najis rasuah

Seorang sejarawan ulung pada awal kurun ke-19, Lord Acton ada menyebut;

“Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely. Great men are almost always bad men.”

UMNO dan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional telah memerintah negara selama lebih 50 tahun lamanya. Tidak semestinya  tempoh pemerintahan yang lama itu dikaitkan dengan kuasa mutlak (absolute power), akan tetapi setelah sekian lama berada di zon selesa, tentunya ada yang mula merasakan kuasa yang ada itu merupakan kuasa yang mutlak. Maka, tidak hairanlah jika korupsi, dan rasuah begitu berleluasa didalam BN kerana mereka yang memegang kuasa.

Perkara yang sama juga dapat diperhatikan di negeri-negeri yang diperintah pembangkang, contohnya di Perak, belum cukup setahun PR diberi mandat, sudah ada beberapa tangkapan berprofil tinggi berkaitan rasuah dan salahguna kuasa. Bukankah kuasa ini precursor kepada korupsi seperti yang disebut oleh Lord Acton? Maka ironi sekali jika ada sesetengah pihak yang ingin berkuasa untuk menghapuskan rasuah, kerana kedua-duanya datang dalam bentuk pakej, beli satu, percuma satu.

Mungkin ada yang berhujah, korupsi dan rasuah wujud sejak zaman kegemilangan Rome, jadi tidak seharusnya UMNO-BN dipersalahkan dalam hal ini. Saya pula bertanggapan, dengan tidak menafikan amalan korupsi dan rasuah ini akan terus wujud dalam mana-mana jua kerajaan di dunia ini, satu mekanisme untuk mengawal amalan tidak bermoral ini hendaklah dipraktikkan bukan hanya melalui badan kehakiman, perundangan, penguatkuasaan sebaliknya hendaklah juga dijadikan tertib serta etika wajib dalam parti masing-masing.

Penubuhan SPRM diharapkan dapat mempercepatkan lagi proses pembersihan ini. Konsep hukuman ini tidak bermakna menangkap semua yang melakukan kesalahan, tetapi ianya juga bertindak sebagai peringatan buat mereka yang berniat untuk melakukan rasuah, ataupun mereka yang mengamalkan rasuah tetapi terlepas.

Saudara Novandri mengulas penuh mengenai topik pembersihan UMNO ini didalam blog beliau.

Makanya seperti kata penulis, isu pendakwaan beberapa pemimpin dan ahli UMNO membawa harapan yang positif. Akan tetapi, penulis juga ingin menyarankan agar mereka yang didakwa itu bukan hanya ‘ikan-ikan bilis’ di dalam UMNO. Yang sama pentingnya ialah ‘jerung-jerung besar’ juga patut didakwa tanpa rasa takut!

2. Merakyatkan UMNO

Intipati ini tampak mudah dan ringkas, tetapi pada pandangan saya, inilah yang paling sukar, lebih sukar daripada usaha membanteras rasuah.

Imej UMNO sudah bersebati dengan status bangsawan, golongan kelas tinggi dan semakin hari, semakin jauh daripada capaian rakyat yang mengangkat pemimpin-pemimpin UMNO ini. Saya sentiasa membayangkan terdapat 3 golongan manusia dalam sesebuah parti politik, kumpulan kecewa, kumpulan berkepentingan peribadi, dan juga kumpulan yang ikhlas. Malang sekali, jumlah didalam dua kumpulan pertama yang disebut jauh mengatasi jumlah didalam kumpulah akhir itu. Maka tidak hairanlah jika kumpulan ikhlas ini tidak diberi platform dan peluang sewajarnya untuk berbakti. Natijahnya, UMNO sudah tersasar jauh daripada jangkauan rakyat biasa. Ini belum lagi kita buka cerita mengenai sikap sesetengah pemimpin yang liat untuk turun padang, dan hanya tahu untuk makan gaji buta.

Kerja merakyatkan UMNO ini memerlukan sokongan akar umbi yang sangat kukuh. Ianya memerlukan komitmen daripada semua merangkumi pucuk pimpinan dan juga akar umbi. UMNO perlu dilihat sebagai satu enjin yang mempunyai bunyi deruman yang sama, memacu pada kelajuan yang sama, dan yang penting sekali menuju ke satu destinasi yang sama. Sehingga ke hari ini, masalah dalaman UMNO tidak henti-henti melanda, tiada peluang langsung untuk UMNO bertindak, ataupun mungkin peluangnya tiba, tetapi tidak dimanfaatkan atau tidak disedari oleh pimpinan tertinggi. Kesibukan melobi dan berkempen untuk jawatan mungkin mengkaburkan mata calon dan juga perwakilan.

Kuala Terengganu telah menjadi saksi, apabila calon UMNO yang dilihat sebagai elitis dan tidak mesra rakyat ditolak dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu. Bukan seorang atau dua pengundi yang tolak, tetapi 2000 lebih. Jika UMNO tidak dilihat bersama rakyat, BN perlu bersedia untuk mengambil alih peranan Pakatan Rakyat dalam Parlimen pada pilihanraya umum ke-13 kelak. Isunya bukanlah menjurus kepada kesediaan atau kemampuan PR untuk memerintah ataupun tidak, sebaliknya untuk memastikan kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan sama-sama bersedia untuk berkhidmat, dan bukan hanya menangguk di air keruh atas kelemahan pihak lawan.

Bagaimana untuk merakyatkan UMNO, perkara pertama adalah memecahkan halangan status yang menjarakkan pemimpin dan rakyat. UMNO ditubuhkan oleh rakyat, paksi kepada perjuangan UMNO adalah marhaen. Tiada istilah ‘I know best’ dalam politik. Merakyatkan UMNO bermula dengan proses merakyatkan diri setiap pemimpin terlebih dahulu.

3. Peremajaan UMNO

Dalam pilihanraya umum ke-13, hampir 50% pengundi adalah terdiri daripada golongan muda. Kecenderungan muda-mudi sekarang adalah bukan kepada UMNO ataupun Barisan Nasional, buktinya boleh dilihat pada pecahan pengundi mengikut saluran pada data pilihanraya umum ke-12, pilihanraya kecil Permatang Pauh dan juga pilihanraya kecil Kuala Terengganu. UMNO tewas dialam siber, alam yang menjadi tempat lepak terbaru golongan muda-mudi.

Terdapat pelbagai punca UMNO gagal diremajakan. Pertama, dasar langit tertutup peringkat cawangan, kedua, kekurangan daya penarik pada dasar dan prinsip UMNO, dan ketiga, kegagalan untuk mengetengahkan serta memberi peluang kepada pemimpin muda untuk meningkat dalam parti mahupun di peringkat nasional.

Dasar langit tertutup pada peringkat cawangan adalah titik permulaan kepada hilangnya sokongan orang muda kepada UMNO. Ramai graduan universiti tempatan mahupun luar negara yang dinafikan peluang untuk berbakti melalui UMNO cawangan. Menyedihkan sekali apabila golongan cerdik pandai muda ini dilihat lebih sebagai ancaman berbanding rakan yang boleh memberikan lebih manfaat kepada komuniti secara khususnya. Untuk memastikan Ketua Cawangan kekal sebagai Ketua Cawangan dalam pemilihan parti, mungkin kehadiran ahli yang lebih pandai akan dapat menggugat posisi mereka, maka mereka mempraktikkan prinsip ‘cegah sebelum parah’. Sayang sekali, prinsip tersebut tidak terpakai dalam situasi ini.

Jika kita lihat, PKR mengetengahkan Nik Nazmi sebagai ADUN paling muda dalam pilihanraya yang lepas, dan diikuti pula dengan ramai lagi calon-calon bawah paras umur 40 tahun yang bertanding. Tentunya calon-calon ini akan mendapat lebih sokongan golongan muda, atas sebab hanya orang muda yang mengerti keinginan orang muda. UMNO pula masih giat meletakkan muka-muka lama yang ada diantaranya yang sudah 5-6 penggal menjadi ahli parlimen untuk sesuatu kawasan. Memang benar, undi golongan berusia masih menjadi milik UMNO-BN, namun rancangan jangka masa panjang perlu difikirkan, jika pada peringkat bahagian lagi khidmat orang muda sudah dinafikan, mungkin UMNO akan mengalami proses penuaan yang kekal – akan nyanyuk.

Daya penarik UMNO diakui sudah tidak begitu menarik lagi. Ini dinyatakan juga oleh calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di sini saya meletakkan kesalahan pada bahu sayap pemuda yang ternyata agak kurang berkesan dalam menarik perhatian pengundi-pengundi muda. Pendekatan yang diguna pakai mungkin sudah obsolete serta ketinggalan zaman. Kehendak utama golongan muda tidak dipenuhi, kegagalan UMNO berubah mengikut peredaran masa akan terus menenggelamkan UMNO daripada menjadi pilihan golongan muda. Pemuda hendaklah lebih cergas, lebih tangkas, serta lebih responsif kepada isu-isu yang menjadi perhatian golongan muda masa kini. Mereka lebih berminda terbuka, mereka mahukan kebertanggungjawaban dan etika dalam pemerintahan, mereka juga mahukan keikhlasan.

Attack is the best form of defense

UMNO sudah sekian lama berada didalam gear undur (reverse) yang nyata tidak menguntungkan parti itu dan juga rakyat keseluruhannya. Sudah tiba masanya untuk UMNO mengambil langkah yang lebih proaktif dan responsif serta menukar gear kepada menyerang. Mengikut kata pujangga “attack is the best form of defense”, maka semestinya kegagalan untuk menyerang akan membuka peluang buat lawan untuk terus memberi tekanan, dan sepertimana yang kita boleh jangka, a crack will open wider under pressure.

Saya menulis mengenai UMNO adalah bertujuan untuk memastikan parti ini terus ada di arena politik tanahair. Di samping ingin melihat Pakatan Rakyat mengukuhkan tapak di persada politik tanahair, saya juga ingin melihat BN berada di tahap yang tinggi, supaya benchmark yang perlu dicapai oleh PR juga tinggi, vice versa. Kerajaan yang kuat adalah kerajaan yang mempunyai check and balance yang juga kuat. Melalui politik sebegini, Parlimen Malaysia akan mengeluarkan akta-akta dan dasar-dasar yang terbaik dan berkualiti. Kesannya akan dapat dinikmati oleh rakyat dalam bentuk kesejahteraan, keamanaan dan keselamatan.

http://malaysiakini.com/news/97107

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s