Debat Penstrukturan Subsidi: Satu Analisa

Saya baru sahaja selesai menyaksikan secara langsung debat penstrukturan subsidi di saluran RTM1. Debat tersebut melibatkan YAB Datuk Shahrir Samad, Menteri Perdaganan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian, Hanafiah Man, pengendali agendadaily.com dan Syed Munawar selaku penganalisis bebas. Jika boleh dihuraikan dalam satu perkataan, debat tersebut ‘mengecewakan’. Menyedari akan hakikat memang mudah kita melihat titik hitam kecil di atas kertas putih yang besar, saya terpaksa mengambil pandangan gelas-separuh-penuh semasa menyaksikan rancangan tersebut.

Kecewa

Saya kecewa kerana, moderator tidak memainkan peranan yang sewajarnya dalam perbincangan tadi. Seringkali pendebat-pendebat menyimpang daripada soalan yang ditanya dan kadang-kadang langsung tidak menjawab soalan. Debat ini lebih merupakan perlumbaan untuk satu pihak menunjukkan kepada dunia yang dia tahu selok-belok urusniaga petroleum ini dengan memetik rujukan majalah ekonomi, ucapan Tun Abdul Razak dan juga petikan laporan Gabenor Bank Negara Malaysia.

Saya juga kecewa kerana pihak yang lagi satu pula juga turut hanyut dengan persoalan-persoalan yang menjurus kepada hujah-hujah berbentuk pro tindakan popular berbanding tindakan yang prudent. Saya mendengar begitu banyak sekali perkataan-perkataan seperti ketelusan, bebas korupsi dan prudent digunakan dalam program tadi. Namun, jelas sekali maksud prudent itupun secara dasarnya tidak disepakati oleh kedua-dua pihak.

Impian YB Salahuddin

Sebagai contoh, YB Salahuddin menuduh kerajaan sekarang tidak cukup telus, boros dan tidak prudent dalam menangani isu ini, lebih teruk lagi cubaan YB di akhir rancangan untuk mengaitkan tindakan kerajaan sebagai kesamsengan ekoran desakan tekanan harga komoditi ini. Ada juga taktik biasa pembangkang yang cuba mengambil fakta-fakta terpilih (selected) untuk menyedapkan hujah beliau dan pada masa yang sama menampakkan kejahatan dan keburukan kerajaan memerintah apabila dikatakannya kerajaan hanya memperuntukkan masa selama 4 jam untuk mesyuarat kabinet mengenai isu ini. YB inilah juga yang sibuk mengimpikan kerajaan yang prudent tatkala beliau sendiri keliru dengan maksud sebenar perkataan tersebut yang kadang-kadang tidak diterjemahkan oleh taktik-taktik mengkritik untuk popular dan bukan untuk membina.

Impian Penonton

Penonton yang meluangkan masa selama sejam dihadapan TV menginginkan perbahasan mengenai dasar-dasar dan penjelasan kukuh kenapa kerajaan BN mengambil tindakan tidak popular dan secara drastik ini. Penonton juga mahu mendengar apa pelan alternatif yang ditawarkan oleh pihak Pakatan Rakyat. Debat kali ini lebih berat kepada debat politik dan ini bukan debat isu rakyat. Saya tidak kisah jika nama Anwar Ibrahim disebut berkali-kali pun, namun terangkan juga apa modus operandi beliau untuk menurunkan harga minyak ini. YB Salahuddin juga ditanya mengenai apakah pendekatan yang akan diambil oleh pihak Pakatan Rakyat untuk mengatasi isu ini, beliau berbicara mengenai master plan. Memang benar, saya juga bersetuju perlunya master plan ataupun blueprint yang menggariskan pelan tindakan yang sewajarnya. Jika hanya sebut kita perlu blueprint tidak perlu jadi ahli parlimen, rakyat marhaen pun boleh cakap.

Secara peribadi, saya lebih suka melihat kepada perbincangan-perbincangan yang lebih substantif seperti yang cuba dikemudikan oleh penganalisis bebas jemputan Syed Munawar. Namun seringkali pertanyaan beliau tidak dijawab oleh kedua-dua pendebat utama. Walaubagaimanapun, jangan cepat melatah, tidak semua yang dibincangkan itu tidak memberi kesan, saya hanya ingin menzahirkan bahawa mudah betul untuk kita mengkritik, kerana tiada hakim selancang diri kita sendiri. Kadang kala, kerana sibuk mengkritik, kita terlepas pandang beberapa fakta-fakta penting yang positif.

Pengubat kekecewaan

Apabila moderator bertanyakan soalan kenapa ambil tindakan tidak popular ini? Menteri menjawab dengan tenang dan penuh prudent (mengikut tafsiran penulis). Tidaklah kerajaan kita ini diterajui oleh manusia yang tidak tahu sesuatu tindakan itu popular ataupun tidak. Kita juga boleh bersetuju bahawa kerajaan didalam sedar akan natijah yang akan terhasil, masih lagi meneruskan tindakan menaikkan harga petrol ini. Persoalannya, kenapa? Dan ianya telahpun dijawab dengan padat dan tepat oleh Menteri. Malaysia pernah menaikkan harga petrol sebanya 30 sen dengan unjuran penjimatan sebanyak RM4billion untuk kegunaan meningkatkan prasarana pengangkutan awam negara, namun ekoran kenaikan mendadak harga minyak dunia, penjimatan itu menyusut kepada hanya RM900juta. Berdasarkan pengalaman itu jugalah kerajaan bertindak menaikkan harga sehampir mungkin kepada harga pasaran (dengan 30sen subsidi tetap), supaya unjuran penjimatan RM13.8billion yang dicadangkan untuk menampung subsidi-subsidi bahan makanan dan lain-lain tidak akan menyusut sekiranya harga naik lagi secara mendadak.

YB Salahuddin juga pada masa yang sama telah memberikan satu cadangkan yang bernas, iaitu agar Malaysia menjadi hab simpanan petrol dan gas asli kepada negara-negara Asia Tengah seperti Iran dan Arab Saudi. Bunyinya seakan-akan ideal sekali, dan saya melihat sudah tiba masanya negara-negara Islam menunjukkan satu semangat kekitaan yang boleh ditonjolkan secara usahasama-usahasama ekonomi yang lebih mapan dan ampuh. YB juga ada menyebut mengenai keperluan pihak-pihak pembangkang, NGO dan beberapa pakar ekonomi duduk semeja bersama kerajaan berbincang mengenai isu ini. Saya juga bersetuju agar walaupun menteri menyatakan tiada bezanya laporan audit professional menurut akta urustadbir korporat dengan laporan audit Ketua Audit Negara, laporan kewangan Petronas hendaklah sekurang-kurangnya dibincangkan di peringkat Parlimen.

Hujah-hujah dan kenyataan sokongan.

(Hujah YB Salahuddin #1 adalah koresponden pada hujah Datuk Shahrir Samad #1 dan seterusnya, vice versa)

YB Salahuddin Ayub

1. Istilah prudent bermakna pendapatan petronas terus ke poket rakyat. Mengikut ucapan Tun Abdul Razak, Petronas adalah guardian of wealth of the nation.

2. Rakyat berhak terima segala jenis subsidi berkenaan petrol.

3. 1USD peningkatan harga minyak dunia setong, bersamaan keuntungan RM270juta setahun ini menurut kata-kata Menteri Kewangan ke-2, dan diikuti pula dengan laporan Bank Negara Malaysia yang mengatakan Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan harga minyak.

4. Malaysia hanya akan kekontangan petroleum pada 2014 (atau 2020) sekiranya usaha carigali dihentikan sama sekali.

5. Walauapapun perbezaan pendirian Anwar Ibrahim pada dua ketika yang berbeza, beliau tidak bersetuju harga petrol dinaikkan, tidak kira mazhab mana yang dipakai.

6. Malaysia adalah negara pengeluar petroleum, tidak boleh dibandingkan dengan Singapura. Khazanah petroleum negara merupakan hak rakyat dan hendaklah kembali kepada rakyat.

Datuk Shahrir Samad

1. Prudent pada Datuk Shahrir adalah membenarkan, mendorong, membantu Petronas melabur sebahagian keuntungan untuk tujuan carigali di luar negara

2. Kerajaan melihat subsidi bukan hanya petrol, tetapi perkara-perkara lain seperti pendidikan, makanan dan sebagainya.

3. Diksi keuntungan yang digunakan pihak pembangkang disalahertikan. Seringkali di tukar ganti perkataan untung dengan pendapatan. Kedua-duanya membawa makna yang amat berbeza. Keuntungan adalah setelah ditolak kos.

4. 2014 mengikut unjuran dan perkiraan, Malaysia akan kekontangan petroleum. Kos carigali mengikut kenyataan Hassan Marican adalah semakin meningkat memandangkan lokasi penggerudian minyak didasar yang lebih dalam dan hanyalah telaga-telaga kecil.

5. Dahulu Anwar Ibrahim terima dasar IMF (anti-subsidi) dan tolak pendekatan Mahathir (pro-subsidi), sekarang Anwar pula pro-subsidi, mencerminkan Anwar tidak prudent dan berubah-ubah pendirian.

6. Jika ditanya pendirian beliau semasa berada didalam kabinet mahupun diluar Datuk Shahrir Samad mengimpikan subsidi distruktur semula, dan harga petrol diselaras kepada harga pasaran dunia. Pada masa yang sama membayangkan subsidi akan dikembalikan semula dalam bentuk yang selain yang sedang dipraktikkan di zaman Mahathir.

Saudara/i boleh menilai sendiri hujah-hujah yang telah dilontarkan oleh kedua-dua pihak. Penglibatan saudara Hanafiah Man dari agendadaily dan Syed Munawar juga memberi sedikit petunjuk kepada betapa rakyat menginginkan penjelasan yang lebih daripada pihak kerajaan. Saya tidak melihat perkara ini akan berlanjutan kepada demonstrasi besar-besaran seperti yang direncanakan selagi kerajaan pada setiap hari responsif terhadap aduan serta rayuan daripada rakyat. Penting untuk melibatkan rakyat terbanyak dalam proses membuat keputusan kerana sekarang rakyat merasakan terpinggir dan tidak terbela. Salah satu caranya adalah mendengar dan melibatkan rakyat sebagai pembuat keputusan. Nescaya, rakyat akan faham akan keperluan negara mengambil tindakan drastik lagi tidak popular ini demi kebaikan jangka masa panjang negara serta kemaslahatan generasi anak cucu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s