Mungkin sudah tiba masanya Mahasiswa kembali main peranan

Setelah sekian lama mahasiswa di’diam’kan atau memilih untuk terus berkecuali dalam perkembangan politik semasa tanahair, mungkin sekarang adalah masa paling sesuai untuk suara mahasiwa kembali didengari sebagai kumpulan pendesak utama kepada kerajaan. Apabila media pembangkang sudah menjadi media spekulasi dan fitnah, media arus perdana yang pro-kerajaan masih dengan mood kempen pilihanraya, dan blog-blog online menjadi medan tohmahan, cacian serta maki hamun tidak bertulang, mungkin risalah suara mahasiswa yang ikhlas dan padu akan menjadi alternatif terbaru untuk memastikan negara dipacu kearah wawasan 2020.

Peranan Mahasiswa

Pelbagai cara yang boleh dimainkan oleh mahasiswa tidak kira yang berada di dalam mahupun luar negara. Penulisan melalui blog adalah satu daripadanya. Namun yang lebih penting adalah menyuburkan kembali perbincangan-perbincangan kumpulan kecil yang menjurus kepada isu-isu semasa dan perkembangan terkini agenda politik, isu sosial dan halatuju ekonomi Malaysia. Agak sukar untuk tidak memihak kepada sesuatu pihak didalam sesuatu debat ataupun diskusi berkumpulan, namun hilang matlamat untuk berdebat jika semuanya hanya menyokong satu pihak sahaja. Walaubagaimanapun, yang disokong adalah dasar dan perlaksanaan dan bukan fizikal sesuatu parti politik itu, dan pendekatan inilah yang harus ditanam didalam minda setiap mahasiswa untuk menjadi pendesak utama pemerintah.

Jika dilihat daripada taburan penduduk mengikut umur pada sesuatu masa, golongan mahasiswa adalah merupakan antara kumpulan paling ramai dan sudah menjadi cliche untuk saya menyatakan mahasiswa adalah generasi pelapis kepimpinan negara. Kita akan menjadi pewaris kepada pentadbiran negara masakini, tentunya kita tidak mahu mewarisi masalah pentadbir-pentadbir terdahulu, maka untuk mengelakkan generasi masa hadapan dibebani masalah-masalah warisan, langkah mencegah harus dilakukan sekarang. Dalam apajua matlamat yang disasarkan, kempen kesedaran adalah langkah pertama. Maka untuk memastikan semua mahasiswa senada dalam memperjuangkan sesuatu isu, kita hendaklah bermula daripada ‘halaqah’ kecil yang memancarkan frekuensi yang seirama.

Senada Seirama

Apakah pendirian mahasiswa tatkala ribut politik tanahair yang masih belum reda-reda lagi setelah 3 bulan pasca pilihanraya? Ternyata perkembangan ini membimbangkan kita sebagai mahasiswa. Pelbagai ketidakpastian dan kemungkinan menyelubungi Putrajaya semenjak keputusan pilihanraya yang lepas. Indikasi-indikasi serta bayangan bahawa kerajaan memerintah sekarang akan ditumbangkan oleh coup d etat dikalangan ahli parlimen kerajaan sendiri tidak dapat tidak menyebabkan persembahan pihak kerajaan sedikit goyah. Mana tidaknya, setiap hari ada sahaja ura-ura kerajaan akan bertukar tangan yang dimainkan oleh pihak tertentu. Mahasiswa harus bertegas didalam perkara ini, semangat demokrasi haruslah dihormati, kerajaan tidak seharusnya diganggu-gugat dengan kebarangkalian ‘nakal’ ini. Rakyat sudah bersuara dengan memberikan 5+1 negeri kepada Pakatan Rakyat, dan begitu juga suara rakyat memberikan pentadbiran kerajaan persekutuan kepada Barisan Nasional. Frekuensi yang kita harus ada dalam jiwa setiap mahasiswa adalah, demokrasi harus ditegakkan dan suara rakyat harus dihormati.

Kita juga sebagai pemuda-pemudi hendaklah peka dan arif dengan perlembagaan persekutuan yang telah digubal sejajar dengan keharmonian kaum dan kestabilan politik, sosial dan ekonomi antara kaum. Prinsip perlembagaan inilah yang telah menghadiahkan kemerdekaan kepada negara kita tanpa perlu kita menumpahkan setitik darah pun. Pasca pilihanraya ke-12 harus dilihat sebagai papan anjal kepada pembentukan dua kuasa politik yang sama kuat serta sama menandingi untuk menghasilkan parlimen yang lebih kompetitif seterusnya memastikan pembangunan negara yang mampan. Maka apakah yang patut diperjuangkan mahasiswa adalah, menekankan serta menyampaikan mesej kepada ahli-ahli politik tanahair yang tanggungjawab mereka adalah kepada rakyat dan bukan kehendak-kehendak peribadi masing-masing. Prinsip-prinsip teras yang terpahat didalam perlembagaan harus dipatuhi dan tidak sewajarnya dipertikai dengan kuasa yang diberikan oleh rakyat.

Apolitikal, bukan Apologetik

Maksud apolitikal disini adalah mahasiswa seharusnya lebih mementingkan kepada dasar dan bukan semangat kepartian. Unsur paling penting untuk kearah sistem politik dua parti adalah perjuangan dasar-dasar yang substantif bukan pada nama parti. Parti adalah wadah kepada perjuangan, dan tentunya perjuangan parti adalah sejajar dengan apa yang diperjuangkan. Rakyat termasuk mahasiswa adalah pengguna dan konsep konsumerisma ini digunapakai juga dalam memasarkan sesuatu dasar dan perlaksanaan yang berguna kepada umum. Politik Malaysia mutaakhir ini lebih mementingkan ketrampilan individu, unsur-unsur emosi lebih daripada kesesuaian sesuatu dasar untuk dipraktikkan didalam lanskap geopolitik, ekonomi dan sosial negara. Saya membayangkan jika status dan kedudukan universiti-universiti tempatan ingin diperbaiki, maka kesedaran ini adalah sangat dituntut didalam setiap jiwa mahasiswa. Mengapa di negara-negara barat kerap benar pemerintahan bertukar tangan tanpa menggugat kedudukan ekonomi sesebuah negara tersebut? Jawapannya adalah kerana rakyat memandang substance yang dibawa oleh sesuatu parti tersebut dan bukan kisah-kisah sensasi mahupun janji-janji manis yang entah boleh dilaksanakan ataupun tidak. Sikap mereka dalam ertikata lain adalah apolitikal dan pada masa yang sama sangat nasionalis.

Masyarakat kita terkenal dengan sopan santunnya, masyhur dengan kelembutan tuturkata dan sangat pemurah dengan perkataan maaf. Tidak salah sekiranya maaf itu betul-betul ditujukan secara ikhlas dan kena pada waktunya. Yang menjadi masalah adalah apabila kompromi ini disalahertikan apalagi disalahgunakan. Sudah begitu banyak tuntutan-tuntutan yang diselindungkan di sebalik kesaksamaan dan hak samarata. Tidak ada rakyat yang mengundi untuk huru-hara , yang diharapkan adalah kesejahteraan dan kemakmuran negara. Pengundi pembangkang mahupun pengundi kerajaan semuanya mengimpikan Malaysia yang kondusif, kompetitif dan selamat. Mahasiswa seharusnya vokal dalam memastikan ahli-ahli politik tidak terlalu berlembut dengan tuntutan-tuntutan rakan-rakan politik tertentu hanya semata-mata ingin memastikan kepentingan politik mereka lebih terjamin. Sejak bilakah rakyat mengundi mereka untuk memperjuangkan parti politik mereka? Rakyat mengundi untuk Malaysia. Mahasiswa tidak seharusnya apologetik, berlembut serta berdiam diri apabila sesuatu tindakan sesetengah pihak boleh mengganggu ketenteraman negara dan kemakmuran antara kaum yang telah dikecapi melalui pematuhan kepada prinsip teras perlembagaan negara sejak sekian lama.

Masa hadapan lebih terjamin

Bukan saya ingin merendahkan kesungguhan serta visi yang ditunjukkan oleh pengasas-pengasas Parti Mahasiswa Negara, namun saya lebih setuju sekiranya mahasiswa kekal sebagai pendesak berkecuali dan bukan sebagai sebuah badan politik yang berunsur kepartian. Saya gembira apabila diawal penubuhannya mereka mengkritik ahli-ahli politik yang meminggirkan suara mahasiswa namun sekarang nampaknya mereka juga sudah berpihak dan tidak lagi bebas. Mungkin perjuangan sebagai sebuah parti adalah idealistik namun bagi saya ianya tidak realistik dalam dunia mahasiswa. Kesedaran dalam mahasiswa boleh diperjuangkan melalui pelbagai cara, namun membentuk sebuah parti mungkin cara terakhir bagi saya. Ayuh kita sama-sama menjadi suara untuk memastikan ahli-ahli politik tidak akan terbawa-bawa dengan spekulasi siapa yang akan menjadi Perdana Menteri seterusnya, kerana yang pasti salah seorang daripada kita Mahasiswa akan menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti.

Masa hadapan yang lebih terjamin dan menjaminkan tertakluk kepada apa idea dan pendirian yang diperjuangkan oleh mahasiswa semasa. Jangan AUKU menjadi alasan serta penghalang kepada kesedaran ini, tiada apa yang boleh menghalang kita untuk menjadi suara kepada golongan yang akan mewarisi pentadbiran negara kelak. Kita sebagai mahasiswa seharusnya mempunyai pendirian yang sama mengenai perkara-perkara yang telah dihuraikan diatas. Kerana ini adalah isu pokok yang menjangkaui batas-batas ideologi politik antara mahasiswa (jika ada) dan perjuangan-perjuangan diatas adalah selari dengan suara demokrasi rakyat. Kita boleh memperjuangkan reformasi, tapi apalah reformasi jika demokrasi tidak dipatuhi.

Advertisements

3 responses to “Mungkin sudah tiba masanya Mahasiswa kembali main peranan

  1. salam
    more than agree with u.
    just want to say to KU luar negara.
    buktikan anda adalah pengimbang dan pengkritik umno pusat. suara idealisma mahasiswa penting sekali. buktikan anda hanya dapat sponsor sebagai sayap umno dan buktikan bahawa demokrasi dan kritikan subur dalam kelab umno luar negara. ini tidaklah hanya KUD dan KU london sahaja yang aktif. pastikan betul2 kebebasan bersuara memang wujud di kalangan mahasiswa luar negara.
    trust me. jika kerajaan membuka kebebasan bersuara, serius ramai optimis yang nak masuk UMNO. UMNO mmg akan untung kalau ada kebebasan bersuara. other party has nothing to offer to mahasiswa. really

    beberapa orang sahabat baik saya yang islamist tapi akhirnya menyokong UMNO.

  2. Kenapa islamist tidak memilih PAS.
    Mereka terlalu liberal? PAS terlalu konservatif?

    Mahasiswa kita lembik dan lebih mementingkan hiburan.

  3. Amad ko ada tokoh ganti Mat Sabu, sbb arguments ko berapi-api and macam ular. Too easy to jump into conclusions, though some part you said is true eg “PAS konservatif”. To say mahasiswa kita lembik is actually accepting that you are not capable of changing it. So semantically, you are subconciously saying youre not strong enough yourself to rectify it, and then putting your failure on other’s incapabilities. Betul2 macam ular. And in your other comment pasal gaji doktor tu pun ko macam trus jump into conclusion “doktor ireland semua macam ni ke?” nk mengapi-api ke? you are not developing good arguments pun for discussion. Ape ni sikap melabel2? Memporak-perandakan pembaca blogs la ko ni amad. Kalu ko takleh nk create buah fikiran org lain, baiklah ko senyap, sbb “yg paling kuat bunyi adalah tin kosong”. Peribahasa ni pun ada salahnya, tapi ok la sbb aku guna peribahasa salah utk org yg tulis benda salah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s