Ucapan Dasar Pengerusi pada Mesyuarat Agung Tahunan KUD 07/08

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh, 

Terima kasih saudara pengerusi Majlis, Barisan kepimpinan Kelab UMNO Dublin sesi 07/08, serta yang dikasihi ahli-ahli sekalian.

            Pertama sekali, ingin saya panjangkan rasa syukur kehadrat Ilahi atas limpah kurniaan dan rahmat dariNya maka dapat kita hadir bersama-sama ke mesyuarat Agung Tahunan ke-13 kelab UMNO Dublin yang saya pasti akan menjadi titik tolak kepada kesinambungan serta kejayaan yang lebih gemilang pada perjuangan Kelab UMNO Dublin. Segulung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli jawatankuasa KUD, ahli-ahli, dan sesiapa sahaja yang terlibat sepanjang 13 tahun lebih kewujudan Kelab UMNO di bumi Eire ini. Hanya Allah yang mampu membalas budi baik dan jasa saudara/saudari yang telah banyak meluangkan masa, mengerahkan tenaga serta menjadi paksi kepada kelangsungan kelab ini.

DARI KUI KEPADA KUD 

Saudara dan Saudari sekalian,

            Suka saya membawa saudara saudari sekalian melihat kembali kepada perkembangan keluarga Kelab UMNO di Ireland. Pada tanggal 5 Januari 2008, kita telah menerima secara rasminya ahli keluarga baru yang bakal berjuang bersama-sama, iaitu Kelab UMNO Cork. Saya pasti langkah tersebut akan disusuli pula oleh perasmian Kelab UMNO Galway. Tertubuhnya kedua-dua kelab tersebut menandakan Kelab UMNO Ireland terpaksa melepaskan nama Ireland untuk ditukar menjadi Dublin. Walaupun agak sukar bagi kami menukar nama daripada KUI kepada KUD ekoran singkatan KUI yang telah sebati bukan sahaja di kalangan AJK, malahan ahli-ahli dan juga komuniti disini, namun kita terpaksa lakukan juga bagi menerima kehadiran dua kelab baru di Ireland. Peristiwa ini juga menandakan KUD telah mengorak langkah baru sepanjang 13 tahun penglibatan di dalam aktiviti kemasyarakatan di sini. Maka 2008 akan menjadi saksi kepada ‘nafas baru Kelab UMNO Dublin’.

MENYINGKAP KEJAYAAN KELAB UMNO 

 Ahli-ahli yang dikasihi,

            Tanpa kita sedari, sudah setahun masa berlalu. 2007 telah meninggalkan kenangan pahit dan manis buat semua. Kelab UMNO Dublin pada tahun lepas telah menjalankan pelbagai aktiviti bercorak sambutan perayaan, riadah, jamuan, forum keilmuan, kebajikan dan juga keagamaan, yang merupakan aktiviti-aktiviti wajib setiap tahun. Apa yang berbeza kali ini adalah kejayaan KUD menganjurkan dua program mega yang telah memperkenalkan KUD kepada umum. Pada pertengahan bulan Ogos 2007, KUD bersama-sama Badan Perhubungan Kelab-Kelab UMNO UK telah berjaya menyatukan rakan-rakan pelajar baru yang akan berlepas ke UK dan Ireland di bawah satu bumbung. Dan di penghujung bulan Oktober pula, buat pertama kalinya Minggu KUD 2007 telah berlangsung. Saya percaya, dengan tenaga dan semangat yang ada pada setiap ahli dan AJK kelab, KUD tidak akan ketandusan idea untuk meneruskan dan menambahbaik aktiviti yang akan dianjurkan. Dalam negara pun kita terkenal aktif, di Ireland pun tak kurang hebatnya. Begitulah Kelab UMNO Dublin yang terus proaktif merencanakan dan menjayakan aktiviti-aktiviti yang memberikan manfaat serta menyatukan komuniti Malaysia disini 

KEPELBAGAIAN KEPAKARAN AHLI, KEPELBAGAIAN AKTIVITI

Rakan-rakan dan sahabat sekalian,

            KUD akur akan peredaran zaman dan masa dan waktu telah menyaksikan kedatangan lebih ramai golongan professional menjejakkan kaki ke bumi Ireland ini. Maka atas kesedaran itulah KUD akan mengambil pendekatan yang agak berlainan daripada biasanya. Kelab kita adalah kelab untuk semua, tidak termaktub dalam perlembagaan bahawa Kelab ini hanya boleh dianggotai oleh hanya pelajar mahupun professional. Platform yang kita ada ini membolehkan kita berintegrasi serta bersosial antara komuniti pelbagai kepakaran dan bidang. Perkembangan ini hanya akan menjadikan ahli KUD semakin berdaya saing serta secara tidak langsung menyiapsiagakan diri untuk menempuhi masa hadapan yang semakin mencabar. 

            Langkah segera dan bertepatan harus diambil untuk menjamin kelangsungan dan kesinambungan kelab dalam komuniti yang semakin bertambah setiap tahun. Bukan sahaja dari segi bilangan yang berubah, komuniti rakyat Malaysia disini bukan hanya terdiri daripada golongan perubatan, akauntansi dan perhotelan lagi, malahan sudah ramai rakan-rakan arkitek, jurukur bahan dan lain-lain kepakaran datang bekerja di Ireland. Maka kelab juga hendaklah fleksibel akan perkembangan ini dan melakukan perubahan dan penambahbaikan.

            Usul saya agar dengan wujudnya kepelbagaian dalam kelab kita ini, program yang lebih terbuka dan disasarkan kepada pelbagai kepakaran hendaklah diperbanyakkan. Saya akan sentiasa menjadi penyokong kuat kepada program-program berunsur akademik, ilmiah dan juga program yang akan membentuk rohani diri yang lebih mantap.

SARANAN: LIHAT KEHADAPAN KE ARAH WAWASAN 2020

            Di samping itu, masa berlalu sebegitu pantas, kita hanya tinggal 13 tahun untuk mencapai wawasan 2020. Maka seharusnya ada lebih banyak usaha kearah menghasilkan modal insan yang akan pulang memacu pembangunan negara kearah menjadi negara maju. KUD akan menyediakan platform pertukaran minda yang lebih kerap agar misi negara tercapai. KUD mahu menjadi penyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran tanahair yang dicintai. Saya yakin ahli-ahli kelab adalah penyokong kuat kepada kestabilan politik, ekonomi, dan sosial negara serta merupakan pengganti kepada nama-nama besar di dalam negara. Memang kita sudah tidak boleh hidup ‘seperti katak dibawah tempurung’, arus peredaran zaman cepat meninggalkan kita andai kita leka serta lupa yang hanya mereka yang betul-betul berdaya saing yang tinggi akan terus berjaya. Oleh itu, sekali lagi saya ingin mengajak ahli-ahli untuk terus melibatkan diri bukan sahaja secara aktif malahan proaktif dalam apa jua aktiviti anjuran KUD supaya perkongsian idea dan pendapat akan InsyaAllah pada satu hari nanti mencambahkan buah fikiran yang hebat serta mampu membantu negara mencapai Wawasan 2020 yang dicita-citakan. 

SESI 07/08: PENUH KENANGAN, CABARAN, DAN KEMANISAN

Para ahli yang budiman, 

            Sesi 07/08 telah menghidang pelbagai macam kenangan, sejarah, cabaran serta rintangan dan juga kemanisan. Walaupun saya akui barisan kepimpinan KUD agak pincang dengan penarikan diri dua orang kuat Kelab UMNO iaitu saudara Tariq Ziad Dean selaku timbalan pengerusi dan Saudari Hadiani Haron selaku Naib Presiden KUD atas sebab-sebab tertentu telah meninggalkan saya dalam tahun pertama menjadi Presiden dalam keadaan yang penuh cabaran dan dugaan. Namun pujian dan penghargaan yang tidak terhingga kepada barisan ajk sedia ada yang masih lagi bersemangat kental untuk terus melihat KUD berjaya.

            Walau pincang dari zahirnya, semangat kami tetap kuat, misi kami tetap kami dokong untuk memastikan ahli KUD mendapat manfaat sepenuhnya daripada peluang yang telah diberikan kepada kami untuk menerajui kelab ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua. Sesi 07/08 telah menyaksikan KUD semakin terkenal di tanahair dan juga dinegara-negara jiran Ireland. Sebagai contoh, KUD telah menjadi tempat rujukan BPN UK dalam menganjurkan aktiviti Taklimat kepada pelajar baru yang akan berlepas ke luar negara, dan saya selaku Pengerusi KUD telah diberi kepercayaan untuk mengepalai seramai 100 orang wakil Kelab UMNO dari seluruh dunia untuk menjalankan road show Motivasi Kecemerlangan Pelajar UPSR dan SPM di sekolah-sekolah kampung nelayan di Kuala Pahang, dan Pasir Panjang. 

            Pengalaman yang ditimba amatlah berguna dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli atas peluang yang diberikan untuk memimpin kelab ini. Ternyata setahun ini telah mengubah saya menjadi seorang insan yang bukan seperti Ruzaimi setahun yang lalu, masih banyak perancangan dan program yang ada didalam fikiran ini untuk dilaksanakan demi memastikan kejayaan KUD yang lebih gemilang. Kebajikan komuniti kita disini akan menjadi teras utama kewujudan KUD, dan itu adalah janji saya. Marilah kita berpegang kepada nasihat Pendita Za’ba yang mengajak kita kepada 3 peringkat kebajikan, pertama bersifat adil kepada diri, amanah yang diberikan, kedua Ihsan tanpa mengharapkan balasan, dan ketiga iaitu peringkat yang tertinggi, berbuat baik kepada semua seperti berbuat baik kepada kaum keluarga kita sendiri. 

HARAPAN

Saudara dan saudari yang dikasihi, 

                        Di kesempatan ini juga saya ingin menyeru agar segala aktiviti dan perancangan kelab akan terus mendapat sokongan dan penyertaan daripada ahli-ahli serta komuniti. Sesungguhnya, tidak akan berdiri sesebuah rumah tanpa tiangnya, ahli-ahli adalah merupakan tiang seri kepada kejayaan dan survival kelab ini. Bagi pihak AJK, kami akan senantiasa meluangkan masa serta mengorbankan tenaga kami dalam menghasilkan hanya yang terbaik buat semua. Allah yang menentukan, bagi pihak kami yang termampu hanyalah merancang. Semoga dengan usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan, komuniti Malaysia di Ireland akan menjadi nadi utama kejayaan Malaysia di mata dunia.

 

Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal
dan tabah
Dapat memberi mercu tanda
bangsanya yang berjaya…

Sekian,

 

Salam Perjuangan

Ruzaimi Ramza Ramli
Pengerusi
Kelab UMNO Dublin 07/09

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s