Petikan Utusan Malaysia

Tragedi di ulang tahun perkahwinan

WAJAH Nordiyanti Datuk Adnan, 22, sugul dan hiba sewaktu dikunjungi oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Afdal ke Hospital Tallaght, dua jam perjalanan dari Dublin, ibu negara Republik Ireland, baru-baru ini.

Jauh beribu-ribu kilometer di perantauan dan berenggang dengan ibu bapa tercinta sudah cukup memeritkan bagi Nordiyanti yang sudah lebih tiga bulan tinggal di hospital.

Walaupun hatinya melonjak gembira dengan lawatan tersebut namun jauh di sudut hatinya masih bersedih dengan kemalangan yang menimpanya pada 19 Ogos lepas.

Lebih tragis, kemalangan yang berlaku selepas sehari ulang tahun perkahwinannya yang pertama turut membabitkan suaminya Nik Khairul Anuar Mustafa Kamal, 23 dan rakan karibnya Norhani Mohd. Yusoff, 22.

Nordiyanti dan Norhani merupakan bekas pelajar Dublin Business School, kini mengikuti kursus Association of Chartered and Certified Accountants (ACCA) sambil bekerja.

Sementara suaminya, Nik Khairul merupakan pelajar kejuruteraan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Lubeck, Jerman.

Menurut ayah Nordiyanti, Ketua Pegawai Operasi Telekom Malaysia, Datuk Adnan Rofiee yang turut berada di hospital tersebut, suami Nordiyanti datang dari Jerman semata-mata untuk bertemu isterinya di Dublin untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka.

Katanya, kemalangan itu berlaku apabila dua buah kenderaan dari arah yang sama bergeseran sesama sendiri, salah sebuah dipandu Nik Khairul. Penggeseran itu telah mengakibatkan kereta Nik Khairul terbabas dan dipercayai berpusing beberapa kali di bahu jalan yang lebih rendah dari paras jalan raya. Suaminya hanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu.

Menceritakan detik-detik berlakunya kemalangan, dengan nada perlahan Nordiyanti memberitahu, hari kejadian, beliau dan suami cukup gembira dan ingin meraikan ulang tahun perkahwinan dengan keluar makan.

“Kami menyewa sebuah kereta dan mengajak teman serumah saya, Norhani menemani ke bandar untuk membeli-belah dan makan-makan.

“Sekembalinya dari sana kemalangan berlaku dan saya tidak ingat lagi apa terjadi selepas itu,’’ ujarnya.

Bagaimanapun, beliau kini mengakui tubuhnya semakin sihat namun perlu menjalani pembedahan mata kerana selepas kemalangan tersebut, pandangannya terlalu cerah dan beliau boleh melihat walaupun di dalam gelap.

Nasib menyebelahi Nordiyanti, walaupun jauh di rantau orang namun beliau mendapat perhatian seorang doktor Malaysia, Dr. Noor Hayati Rasaidi, pakar buah pinggang yang telah empat tahun bertugas di sana.

“Nordiyanti semakin sembuh dan alat penyokong (external fixator)di bahagian pinggangnya sudah boleh dibuka namun beliau masih lemah dan memerlukan beberapa siri rawatan susulan.

“Ketika baru dipindahkan ke hospital ini selepas tiga hari mendapat rawatan di Hospital Naas, saya diarahkan merawat mangsa kemalangan dan bila melihat Nordiyanti, saya terkejut dan tidak menyangka beliau wanita Melayu dan berasal dari Malaysia.

“Pihak hospital amat bertolak ansur apabila membenarkan saya sentiasa berada di sisi Nordiyanti walaupun kecederaan yang dialaminya bukan bidang saya,’’ Dr. Noor Hayati.

Menurutnya lagi, ketika dikejarkan ke hospital, Nordiyanti cedera parah dan koma selama beberapa hari.

“Paha kirinya patah, cedera di bahagian dalaman dan melibatkan pelvik serta yang paling dibimbangi di bahagian otaknya terdapat dua tompokan lebam.

“Di peringkat awal, banyak memorinya hilang tetapi selepas menjalani pembedahan dan dua bulan sudah berlalu, keadaan Nordiyanti semakin pulih sebanyak 95 peratus,’’ ujar ibunya.

Nordiyanti juga dianggap bertuah kerana sejak kemalangan berlaku, ibunya Datin Nor Hayati Md. Tahir setia menemani dan menjaganya menjalani rawatan.

“Syukur, banyak perubahan yang berlaku kerana pada peringkat awal, saya tiba di sini keadaan Nordiyanti parah dan benar-benar memilukan. Apabila sedar daripada koma, beliau tidak ingat bila dia berkahwin dan siapa suaminya. Selepas beberapa minggu, memorinya kembali pulih tetapi lemah, kini selepas fisioterapi, keadaan semakin sembuh,’’ ujarnya

Menurut Norhani yang telah sembuh sepenuhnya tetapi turut melawat rakan karibnya petang itu, kemalangan berlaku pada hari Ahad lebih kurang jam 12 tengahari di Kildare 30 kilometer dari pusat bandar Dublin dan sebelum kejadian beliau tertidur.

“Saya terdengar jeritan dan dentuman lalu terjaga dari tidur. Saya terkejut apabila kereta sudah terbalik beberapa kali dan mengiring dengan kedudukan saya di atas, belakang pemandu.

“Sementara Nordiyanti di hadapan sebelah pemandu yang paling teruk kerana kereta diseret agak jauh.

“Dalam keadaan kelam kabut dan keadaan kereta mengiring, saya ditarik keluar oleh seorang pemandu kenderaan lain dan selepas itu terus dikejarkan ke hospital.

“Saya tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana usus pecah dan terus menjalani pembedahan. Selama 16 hari saya dirawat di Hospital Naas dan dibenarkan pulang.

“Saya kembali selama sebulan ke Malaysia untuk memulihkan semangat di samping menjalani rawatan pesakit luar,’’ katanya.

Sementara itu, Mohd. Shafie dalam pertemuan tersebut melahirkan rasa bangga dengan keakraban komuniti Malaysia khasnya di kalangan pelajar dan pihak kedutaan di sana apabila secara suka rela datang menghulur bantuan dan melawat mangsa kemalangan tanpa batasan kaum dan agama.

“Kita tidak mengharapkan tragedi begini berlaku tetapi apabila kejadian tetap menimpa, saya berharap warga Malaysia akan saling bekerjasama dan bantu-membantu,’’ ujarnya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s