Dublin Week Updates

Kemeriahan rumah terbuka di perantauan

Oleh: RAHANA MD (Yang mengikuti lawatan ke United Kingdom dan Ireland anjuran Kelab UMNO Dublin, baru-baru ini)

KELAB UMNO DUBLIN INGIN MENGUCAPKAN TERIMA KASIH
KEPADA SEMUA YANG MEMBANTU MENJAYAKAN DUBLIN WEEK 2007

SUASANA berkabus dan sejuk, sesekali hujan renyai mewarnai musim luruh di Dublin, Ireland. Kedinginan pada paras 9 hingga 11 darjah Celsius langsung tidak mematahkan semangat kira-kira 100 pelajar dan warga Malaysia yang bersesak di Malaysia Hall, Dublin, sambil menghidu aroma makanan yang dihidangkan.Walaupun hanya nasi impit, rendang ayam, kuah kacang, kuah lodeh dan bihun goreng, itu semua sudah cukup untuk membuka selera, apatah lagi ia sememangnya sesuai dengan tema majlis iaitu Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kelab UMNO Dublin.

Biarpun jauh beribu batu dari tanah air serta keluarga tercinta dan sambutan dibuat ketika Syawal sudah lebih separuh jalan, kemeriahannya tetap dirasai lebih-lebih lagi dengan kehadiran tetamu istimewa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Afdal.

Diiringi Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Malaysia di Dublin, Sofian Akmal Abd. Karim, serta beberapa pegawai kanan Kementerian Pengajian Tinggi, beliau meluangkan masa berbual dan beramah mesra dengan tetamu yang rata-ratanya pelajar dan petugas Malaysia di sana.

“Kehadiran menteri ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri sempena Minggu Kelab Dublin 2007 ini amat besar maknanya kepada kami semua.

“Selain sedikit sebanyak dapat menghilangkan rindu terhadap keluarga di kampung, kehadiran beliau juga bagaikan suntikan semangat baru untuk para pelajar meneruskan perjuangan di rantau orang,” kata Pengerusi Kelab UMNO Dublin, Ruzaimi Ramzan Ramli, mengalu-alukan kedatangan Mohd. Shafie.

Ruzaimi menambah, majlis Rumah Terbuka Aidilfitri merupakan antara acara tahunan bertujuan mengeratkan lagi hubungan warga Malaysia yang belajar di negara itu.

Katanya, dengan cara ini mereka bukan saja dapat berkenalan, bahkan sekurang-kurangnya dapat sama-sama meraikan Aidilfitri

Kemeriahan sambutan lebih dirasai apabila setiap tetamu yang hadir mengenakan pakaian tradisional seperti kurung dan kebaya bagi wanita, manakala lelaki pula rata-rata mengenakan baju Melayu.

Hamizah Yunos, 23, pelajar tahun akhir perubatan di Royal College of Surgeon Ireland, sanggup memenanggalkan kot tebal semata-mata untuk melaram dengan sepasang kurung Kedah corak batik.

Bukan Hamizah sahaja, malah rata-rata pelajar perempuan rela kedinginan semata-mata untuk melaram dan menghargai pakaian yang dikirim oleh keluarga masing-masing.

Pertemuan di Southampton

Sehari sebelum majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dublin, Mohd. Shafie sempat menghadiri perjumpaan dengan para pelajar di Southampton, United Kingdom, lebih kurang sejam setengah perjalanan dengan kereta dari kota London.

Kira-kira 100 pelajar termasuk petugas Malaysia di sana berkumpul sambil bertanya khabar. Ada antaranya yang telah berkeluarga membawa bersama anak masing-masing yang sedikit sebanyak menceriakan lagi suasana dengan keriuhan suara mereka.

Menurut salah seorang tetamu, Siti Anom Ahmad, 32, dan suami, Sawal Hamid Md. Ali, 32 yang sama-sama mengikuti pengajian peringkat doktor fasafah (PhD) dalam bidang elektronik di Universiti Southampton, pertemuan kali ini lebih bermakna.

“Selain bertemu dengan menteri, kehadiran tetamu lain khususnya dari Malaysia mengubat rindu kepada ahli keluarga. Di sini kami cukup akrab dan bagaikan sebuah keluarga yang besar.

“Tahun ini masuk tahun kedua kami di United Kingdom dan terasa sedih dan sayu apabila mendengar takbir. Walaupun sempat berkumpul dengan kawan-kawan di pagi Syawal, kemeriahan raya tidak sama seperti di Malaysia,’’ katanya sambil memimpin anaknya, Syafique Azraei Sawal Hamid, 5, yang kelihatan comel berbaju Melayu hijau muda lengkap bersamping.

Di Malaysia Hall, London

Dari Southampton, Mohd. Shafie bergegas ke Malaysia Hall, London, di mana lebih 200 pelajar dan petugas sedia menunggu di dewan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia di sana.

Kehadiran beliau nyata menceriakan suasana dan masing-masing sibuk berjabat tangan dan bergambar bersama.

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan rakyat Malaysia di perantauan agar menjaga nama baik keluarga dan negara serta bijak merebut pengalaman di rantau orang untuk digunakan semula apabila kembali ke Malaysia.

“Kita sudah melepasi sempadan dalam pelbagai bidang malah berjaya melahirkan angkasawan pertama negara yang diharapkan memberi semangat dan pendorong kepada generasi muda hari ini mencontohinya di masa hadapan,’’ katanya.

Beliau turut menyifatkan pertemuan dengan para pelajar di luar negara merupakan kenangan yang manis dan sukar dilupakan.

Noor Azleen Ambros, 22, ketika ditemui melahirkan rasa gembira dapat bersama-sama teman-teman walaupun terpaksa memandu agak jauh dari Warwick.

“Saya memandu lebih tiga jam, walaupun penat tetapi berbaloi sebab ramai tetamu dari Malaysia dan dapat menikmati hidangan yang sungguh menyelerakan,’’ katanya.

Berasal dari Johor dan sedang melanjutkan pelajaran dalam tahun akhir bidang Kejuruteraan Mekanikal di University of Warwick, Noor Azleen tetap melahirkan rasa hiba kerana berjauhan dengan keluarga di pagi Syawal.

“Perasaan menyambut lebaran di perantauan agak sedih apabila mengenangkan keluarga yang jauh berada di Johor. Apa pun saya gembira apabila rakan-rakan berada di sisi dan sama-sama menyambut lebaran,’’ ujarnya.

Preeti Mutiara Yaacob, 29, yang ditemui sambil mendukung anak kecilnya, Dania Aliesya Nazrul, 4 bulan, turut melahirkan rasa gembira kerana berkumpul dengan teman-teman dari Malaysia.

“Kemeriahan berhari raya di rantau orang lebih terasa apabila dapat berkumpul beramai-ramai sambil menikmati hidangan yang disediakan. Inilah masa yang paling ditunggu-tunggu oleh semua warga Malaysia di London untuk bertemu teman-teman senegara,” ujarnya yang sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana di University of East London.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s