Saya pernah menulis satu artikel di blog www.ruzaimiramza.wordpress.com menyentuh mengenai isu muzakarah ketika ia mula-mula timbul dalam perbualan politik tanahair. Pada waktu itu usaha ini melibatkan Tun Abdullah Badawi dan beberapa pemimpin PAS yang lain. Lebih kurang setahun selepas itu, perkara ini masih lagi hangat dibincangkan. Lebih-lebih lagi setelah berakhirnya Muktamar PAS ke-55 tempoh hari. Hampir setahun ‘bertikam lidah’, usaha baik untuk berbincang ini masih belum kelihatan.
http://ruzaimiramza.wordpress.com/2008/07/20/bermuzakarahlah/
Di dalam artikel yang saya tulis, saya konsisten dengan saranan dan desakan saya agar segala bentuk perbincangan atau muzakarah ini diusahakan dan diteruskan. Untuk kita menyelesaikan sesuatu masalah, kita harus bersemuka dengan masalah tersebut, dan bukannya lari daripadanya. Begitu juga dalam hal ini, apabila PAS mendakwa parti UMNO secara sejarahnya telah menjadikan muzakarah ini suatu yang mustahil bagi PAS, maka sewajarnya PAS perlu bersemuka secara terus dengan UMNO.
Memetik daripada artikel yang sama;
“Meletakkan segala perbezaan ditepi, dan menumpukan usaha kepada sasaran yang dipersetujui bersama adalah usaha politik yang teramat matang. Sebarang usaha kearah itu melambangkan kesediaan pemimpin untuk meletakkan kepentingan rakyat melebihi segalanya termasuklah keegoan sesebuah parti politik itu. Maka saya menyokong usaha muzakarah PAS-UMNO”
Sebenarnya tiada apa lagi yang perlu saya tambah didalam artikel tersebut, cuma saya ingin melontarkan persoalan dan kekecewaan saya kerana begitu lama masa yang diambil untuk menzahirkan muzakarah yang boleh menyelesaikan banyak isu-isu yang melibatkan rakyat dan negara.
Berdasarkan komentar yang diterima pula, sudah tentu ada yang menyokong dan ada pula yang skeptikal dengan pelawaan UMNO kali ini. Namun, harus diperhatikan, inisiatif muzakarah ini dicetuskan oleh Presiden PAS sendiri, mungkin atas kebimbangan beliau terhadap beberapa isu yang mungkin hanya dapat diselesaikan melalui muzakarah PAS-UMNO.
Namun, saya percaya, tiada siapa yang berada didalam kewarasan ingin menolak idea perpaduan. Walaupun usaha awalnya lebih menjurus kepada isu Islam-Melayu, namun jika perpaduan dapat dicapai dalam kelompok Islam-Melayu, tentunya Malaysia akan menikmati kesan-kesan positif daripada penyatuan tersebut. Jika kita meletakkan kesetiaan dan kepentingan parti politik melebihi segala-galanya, dinding perbedaan ideologi politik akan sentiasa menjadi penghalang utama perpaduan di Malaysia walau dalam apa bentuk sekalipun.
Mudah sahaja sifir yang saya guna, jika seseorang itu meletakkan kepentingan negara bangsa mengatasi kepentingan politik peribadi mahupun sesetengah kelompok tertentu, nyata idea bermuzakarah ini tidak akan menjadi masalah pun. Malahan, akan disokong sebulat suara. Pada saya politik kepartian ‘berakhir’ selepas keputusan pilihanraya diumumkan, kerana selepas itu adalah masa untuk bekerja untuk rakyat.
Terlalu sukar untuk kita duduk semeja berbincang sesama sendiri walhal yang hendak dibincangkan adalah hal masa hadapan negara bangsa sendiri. Mungkin sesetengah pihak dibayangi nostalgia lama, sampai bila kita hendak dihantui memori lama, bak kata pepatah Inggeris, ‘It’s time to move on’.
Terlalu lama masa diambil untuk merealisasikan impian ramai rakyat Malaysia yang sudah muak-bosan dengan terlalu banyak politiking didalam negara ini. Mereka mahukan affirmative action, dan melalui muzakarah ataupun perbincangan meja bulat, saya percaya banyak perkara yang mampu pemipin-pemimpin daripada kedua-dua pihak persetujui.
Sememangnya isu ini juga adalah merupakan satu ujian buat pemimpin-pemimpin dan juga pada mereka yang mengimpikan untuk memegang tampuk pemerintahan negara. Ujian untuk menetukan adakah mereka ini merupakan seorang negarawan atau sebaliknya. Tepuk dada tanya hati (bukan parti).
Saya akhiri nota ini dengan memetik kata-kata akhir yang diambil daripada artikel saya yang pada pandangan saya masih lagi relevan walaupun sudah hampir setahun ditulis.
“Apabila ada yang berani bersemuka menyatakan kekecewaan, cuba merungkai sebarang perselisihan, dan lebih penting lagi cuba mengemblengkan usaha diatas objektif yang dipersetujui bersama melalui dua platform yang berbeza, ada pula yang bersangka buruk.
Saya berpendapat, perbezaan adalah satu rahmat, persetujuan memerlukan hikmah dan hasil daripada persefahaman adalah berkat.
Pendapat saya, bermuzakarahlah demi rakyat!”
Posted by ruzaimi ramza
Posted by ruzaimi ramza
Posted by ruzaimi ramza