SPR pula masuk senarai ‘must hentam’ PR. ~ Ref Malaysiakini

February 14, 2009

Tergerak hati saya mengulas mengenai tarikh pilihanraya Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang akan diadakan pada 7hb April 08. SPR menetapkan tarikh tersebut yang hampir kepada tempoh 60 hari yang diperuntukkan dalam perlembagaan, tidak seperti pilihanraya kecil sebelum ini (yang mana tempohnya lebih singkat). Tidak perlu duga, PR sudah lontar tuduhan dan tohmahan, bukan daripada ahli biasa, tetapi ketua umum mereka sendiri.

Anwar Ibrahim: SPR keterlaluan ikut telunjuk Najib

Saya pasti sepanjang tempoh sebelum dan semasa kempen pilihanraya kali ini, SPR akan terus dihentam dan diperlecehkan oleh mereka, walhal mereka sudahpun menang di pilihanraya kecil yang juga dikendalikan SPR yang sama sebelum ini.

Seorang blogger terkenal daripada PR menyokong tindakan SPR, alasannya;

Berbalik kepada tindakan SPR yang lewat untuk mengadakan pilihan raya di Bukit Gantang dan Bukit Selambau itu dan dikatakan menunggu selepas Umno selesai mengadakan pemilihan, Mac ini, hendaklah diterima. Biarkan Umno menyelesaikan urusan rumah tangga mereka. Pembangkang harus terbuka dan gentleman dalam soal ini. Berhadapan dan berlawanlah dengan dalam keadaan mereka siap sedia.

Bukankah pembangkang itu berani dan yakin? Jadi jangan peduli apakah pilihan raya itu cepat atau lambat pembangkang tetap akan mempertahankan kedua kerusinya itu. Jangan bimbangkan kalau keputusan SPR itu merupakan strategi, kerana kalau Pakatan menampilkan calon yang baik dan benar-benar berjuang untuk rakyat, mereka akan tetap disokong walaupun ditindas dan ditekan.

MSO http://www.msomelayu.blogspot.com

Saya bersetuju dengan pendapat saudara MSO, biarlah urusan perhimpunan Agung UMNO selesai terlebih dahulu, kemudian berentaplah korang berdua di kedua-dua bukit tersebut. Jika tidak, sampai kiamat pun rakyat Malaysia tidak akan berhenti dari memperkatakan mengenai politik, dan meminggirkan pentadbiran kerajaan dan ekonomi negara.

Sekarang ini, apa sahaja yang kerajaan lakukan tidak betul pada pandangan Anwar, memanglah, kalau kerajaan sekarang betul, macam mana Anwar hendak jadi PM? Ataupun adakah PR mengamalkan prinsip, if you are not with me, you are against me?

Artikel Pilihan:

Nobisha: Pendapat Saya Salah, Pendapat Kamu Betul

RPK: The Show Is Not Over Till The Fat Lady Sings

SIS tolak dakwaan PUMPP dan Pemuda PAS


Titah Sultan: Jangan Biadap!

February 14, 2009

KENYATAAN AKHBAR KHAS PENEGASAN TERHADAP PERGOLAKAN POLITIK YANG BERLAKU DI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Perkembangan politik, peristiwa demonstrasi jalanan serta pertelingkahan antara pelbagai pihak, bersabit dengan pelantikan kerajaan baru negeri Perak baru-baru ini, yang sehingga membawa pada beberapa gelagat biadab terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, amat mendukacitakan dan mengecewakan beta Perkara ini lebih-lebih lagi dirasai oleh beta kerana DYMM Paduka Seri Sultan Perak adalah ayahanda saudara beta. Malah, keluarga diraja kedua-dua buah negeri ini mempunyai sejarah pertalian yang erat sehingga hari ini.

DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah yang beta kenali adalah seorang tokoh yang tinggi ilmu serta pengalaman perkhidmatan perundangan dan kehakiman baginda, sesuai dengan kedudukan baginda sebelum ini sebagai mantan Ketua Hakim Negara. Baginda dan keluarga baginda juga mempunyai latar belakang serta kelayakan keilmuan yang cemerlang dan sangat peka pada kepentingan rakyat jelata, sehinggakan kebanyakan tindakan baginda akan bersandarkan pada budaya ilmu, pertimbangan syumul serta amalan bermusyawarah bersama pakar-pakar dalam mana-mana satu isu yang bersabit.

Apa yang kita dapat saksikan yang telah dan sedang berlaku semenjak minggu lalu di negeri Perak amat membimbangkan sesiapapun yang mengaku mencintai agama, bangsa, negara Malaysia, kestabilan, kesejahteraan, kemajuan, keselamatan dan masa depan kita bersama.

Kejahilan terhadap peruntukan undang-undang negeri dan persekutuan, ketaksuban terhadap pihak-pihak tertentu, kehilangan pertimbangan ketika emosi terganggu, keangkuhan yang membutakan diri terhadap hak dan kuasa DYMM Paduka Seri Sultan Perak, kebiadaban sebagai anak watan negeri Perak dan warga negara Malaysia serta mudahnya golongan-golongan tertentu terpedaya dengan budaya “mob” amat memalukan.

Bak kata pepatah, ketika peristiwa sebegini berlaku, “barulah kita kenal siapa kaca siapa permata”. Malah dapat juga kita menyelami jati diri pihak-pihak tertentu yang “marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar”.

Beta ingin menasihati dengan penuh keikhlasan dengan mengambil kira kepentingan masa depan agama, bangsa dan negara tercinta kita. Janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita, mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan kita, serta menghakis asas-asas kedaulatan negara ini dengan sifat-sifat keji seperti biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa.

Kegawatan ekonomi yang semakin meruncingkan di peringkat global dan serantau menuntut kita supaya memantapkan perpaduan sesama kita walaupun ada perbezaan pendirian. Jangan sehingga nasi menjadi bubur, di mana terlajak kata boleh dimaafkan, tetapi terlajak perbuatan mungkin akan mengundang bencana.

Kepada mereka yang telah berkali-kali mencabar hak, peranan serta kedudukan yang telah dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan, termasuk peranan institusi raja-raja, maka beta ingin menasihatkan supaya rakyat menggunakan pertimbangan dari akal fikiran yang waras sebelum mengambil sebarang tindakan.

Beta terus mendoakan agar Allah SWT akan terus memelihara kita bersama dan menganugerahkan kita dengan hati yang terang, jiwa yang tenang, fikiran yang tajam, perjalanan yang mudah, tindakan yang betul, perhubungan yang harmonis serta waja diri yang unggul untuk mengemudikan negara kita secara bersama dalam mengharungi proses kemajuan seterusnya.

(DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ)
SULTAN SELANGOR

13 Februari 2009