Mengadap Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, yang bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaanya.
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh
Seri Paduka Baginda Al-Wathiqu Billah Tuanku,
Dengan hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanu Wataala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraannya.
Pertama sekali, izinkan patik selaku rakyat marhaen untuk menyampaikan rasa gembira dan bangga patik kerana dapat terus berada di tanah naungan dan jajahan Tuanku.
Ampun Tuanku,
Sembah patik ini harap diampun. Terhasilnya warkah ini adalah ekoran daripada lahir kegusaran dalam benak patik akibat keadaan semasa yang semakin meruncing di tanah penuh rahmat ini. Patik percaya pembesar-pembesar negeri serta penasihat-penasihat Istana tentu sudahpun memaklumkan kepada Tuanku akan beberapa perkara penting yang semakin hari semakin terhakis kekebalannya dan kesuciannya.
Arakian, telah tertulis dalam media-media dalam negara saban hari berita-berita yang mempersoalkan mengenai kedudukan Melayu, keistimewaan Melayu dan juga soal Agama Rasmi negara ini iaitu Islam. Sejak kebelakangan ini, makin ramai dikalangan kami pacal yang hina ini yang berfikiran mereka tahu segala apa yang berlaku sekarang ini, ada pula dikalangan mereka yang percaya hanya mereka sahaja yang benar-sebenarnya.
Ampun Tuanku,
Tujuan patik menulis adalah untuk memohon pertimbangan dan kebijaksanaan Tuanku agar keharmonian dan keselamatan negara ini sentiasa terjamin. Jauh sekali di hati patik ingin melihat tanah jajahan Tuanku ini bergolak akibat kegelojohan sesetengah pembesar-pembesar negara yang bertelagah antara satu sama lain. Minta dielakkan Ilahi daripada berlakunya perselisihan antara kaum dan agama yang semakin hari kelihatan seolah-olah meniti di gigi ombak yang pada bila-bila masa mampu berubah menjadi ombak tsunami.
Apa maknanya kesucian Agama Islam yang dipertahankan bukan hanya oleh institusi diRaja negara ini, malahan termaktub dalam perlembagaan jika mereka yang bukan ahli mengenainya boleh mempertikaikan sesuatu yang bukan merupakan bahan kepakaran mereka. Sayugia diberitakan ada wujud usaha daripada anasir-anasir tertentu yang ingin tidak senang dengan kedudukan Islam.
Majlis mufti kebangsaan telah menjadi bahan kritikan dan alat propaganda politik sesetengah pembesar negara yang secara terang-terangan cuba untuk mengelirukan maksud dan tujuan fatwa tersebut diwartakan. Patik berasa amat sedih apabila perkara agama ini yang dipayungi Tuanku sudah tidak lagi dihormati. Yang menyedihkan patik lagi adalah apabila fatwa ini dikatakan ‘bodoh’ oleh mereka yang tidak faham.
Menjunjung kasih Tuanku,
Beberapa hari yang lalu, salah seorang dikalangan Raja-Raja Melayu telah menitahkan agar kekebalan Raja dikembalikan kepada Raja. Izin patik menyampaikan pandangan patik mengenai perihal ini. Jika sekarang, hal-hal berkaitan agama Islam sudah mula dipertikaikan, keistimewaan Melayu selaku rakyat terbanyak di tanah ini sudah mula dipandang ringan, diperkecilkan dan menjadi alat untuk meraih sokongan politik pembesar-pembesar tertentu, apakah institusi diRaja masih lagi dipandang seperti tidak lama dahulu.
Ampun Tuanku,
Patik masih ingat dahulu, demi cita-cita politik masing-masing, segerombolan rakyat dari kumpulan tertentu telah berarak ke Istana Tuanku untuk menyampaikan memorandum kepada Tuanku. Kumpulan yang sama ini jugalah yang menyahut titah seorang Raja Melayu yang inginkan kekebalan kepada Raja dikembalikan semula. Kumpulan ini juga yang menjanjikan ianya akan dikembalikan jika mereka berkuasa. Patik mohon ampun jika patik mencadangkan sesuatu yang agak kasar, patik rasa tindakan mereka ini tidak ubah seperti menjadikan institusi diRaja sebagai alat politk sama seperti mana mereka mempermainkan hal agama dan kedudukan Melayu di jajahan Tuanku ini.
Pada pandangan patik, kekebalan Raja dan Institusi diRaja tiada maksudnya jika kedua-dua entiti ini dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu seperti yang patik huraikan diatas. Patik merasakan bahawa kekebalan Raja dan Institusi diRaja lahir daripada hubungan rakyat dan Tuanku yang sudah terjalin sekian lama. Patik yakin masih ada dikalangan rakyat terutamanya berbangsa Melayu yang akan sentiasa menjulang daulat Tuanku. Institusi diRaja dan Raja akan sentiasa kebal, patik yakin dan berani mempertahankan Institusi diRaja yang telah banyak berjasa kepada rakyat negara ini. Kekebalan ini bukan lahir daripada perlembagaan ciptaan manusia, tetapi bermula daripada prinsip kesucian Islam yang akan terus dipertahankan dan kedudukan bangsa Melayu yang akan sentiasa diperkuatkan melalui perjuangan semangat kebangsaan yang berterusan.
Ampun Tuanku,
Pepatah Melayu ada menyebut, “Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah”, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Patik percaya dan sangat bersyukur dianugerahkan Ilahi Tuanku yang adil lagi bijaksana untuk menaungi rakyat di negara ini. Patik juga sangat yakin, rakyat akan mengukuhkan muafakat untuk memastikan Institusi diRaja dan Raja di negara ini akan dipertahankan daripada diperalatkan golongan tertentu, dan juga memastikan kekebalan Institusi diRaja ini akan terus menjadi perjuangan kami, rakyat Tuanku.
Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan doa kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agond dan seluruh kerabat Tuanku sekalian dilanjutkan usia dan berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan selama-lamanya.
Amin Ya-Rabbal-Alamin
Patik dengan segala hormat takzimnya
Ruzaimi Ramza Ramli
Malaysiakini:-
Posted by ruzaimi ramza
Posted by ruzaimi ramza
Posted by ruzaimi ramza 