http://www.malaysiakini.com/news/88658 – Anwar angkat sumpah esok!
http://www.malaysiakini.com/news/88578 – Anwar menang besar
Sahabat baik saya mujedn bertanyakan apakah ulasan saya mengenai keputusan pilihanraya kecil parlimen p44 Permatang Pauh semalam, walaupun beliau sendiri berada lebih dekat dengan Permatang Pauh berbanding saya! Apapun, saya memang berniat untuk menulis mengenai hal tersebut.
Sebaik sahaja Datin Seri Wan Azizah meletakkan jawatan memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, semuanya sebenarnya sudah dirancang terlebih dahulu, dan sememangnya diatas kertas, kemenangan sudah berpihak kepada Anwar. Proses pilihanraya kecil hanyalah satu prosedur rasmi peralihan kuasa daripada si isteri kepada suami. Sehinggakan ada yang berkata, “jika Azizah boleh menang, apa lagi Anwar”. Fakta yang perlu diterima semua, Azizah di kerusi Permatang Pauh kerana Anwar adalah penyandang asal kerusi tersebut.
Walau bagaimanapun, ianya tidak bermakna BN tidak perlu bertanding kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Lihat sahaja Hanafi Mamat dari AKIM, dalam usaha kempennya yang ala kadar itu, dapat juga 92 undi!
Apakah implikasi pilihanraya tersebut kepada negara kita? Apakah maksud disebalik kemenangan Anwar Ibrahim kepada asas dan semangat demokrasi yang menjadi tunjang perjuangan pengasas-pengasas negara?
Pertama, sistem demokrasi yang diguna pakai di negara kita adalah sistem yang terbaik setakat ini dan sistem inilah juga yang saya dokong dan akan pertahankan selagi ianya relevan dengan masa dan sosiobudaya kita. Keputusan pilihanraya p44 menujukkan demokrasi bukan sahaja wujud, malahan subur diamalkan di Malaysia. Kenapa? Kerana jika tidak, dengan ura-ura pilihanraya ini akan menjadi gateway kepada Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada untuk berkuasa, tentunya segala usaha akan ditumpukan untuk menafikan kemenangan Anwar Ibrahim, termasuklah dengan secara membelakangkan semangat demokrasi. Namun, ianya tidak berlaku, sebaliknya pihak yang menuduh SPR diperalatkan kerajaan mendapat kemenangan yang lebih besar lagi.
Bercakap mengenai semangat demokrasi yang sihat, tentunya beberapa peristiwa yang berlaku semasa kempen pilihanraya kecil kali ini memberikan imej yang buruk terhadap semangat demokrasi sebenar. Antaranya ialah ugutan bunuh yang diterima oleh kedua-dua pihak, kekecohan dan pergaduhan antara penyokong parti politik, ugutan bom yang diletakkan di kem Puteri UMNO, dan pelbagai lagi taktik ataupun strategi keji yang boleh memalitkan imej negatif pada perjalanan demokrasi negara.
Tidak kurang juga, agama diperalatkan serta diperkudakan untuk kepentingan politik masing-masing, satu pihak bersumpah, dan satu lagi memperalatkan imam untuk menangkis. Apapun pendirian saudara/i mengenai isu yang satu ini, setuju atau tidak jika saya nyatakan perbuatan kedua-dua pihak sedikit sebanyak menjatuhkan maruah agama Islam? Bagaimana pula dengan pendapat penganut-penganut agama lain yang melihat kita sesama Islam tidak sependapat mengenai hal yang amat penting sekali. Ada juga yang menghindukan seorang Islam yang lain, dan juga mendoakan ‘kemusnahan’ saudara sesama Islam dalam berkempen.
Saya suka bercakap mengenai realiti dan kesan langsung daripada keputusan pilihanraya ini, bagi mereka yang mempunyai kebolehan meramal apa yang akan berlaku selepas 16hb September ini, teruskan meramal. Kehadiran Anwar Ibrahim kedalam Dewan Rakyat sebagai seorang lawmaker mewakili Pakatan Rakyat tentunya akan memberikan lebih kick kepada perbahasan antara ahli-ahli Parlimen BN dan juga PR. Jika dahulu saya menginginkan keadaan dimana pembangkang punyai suara yang kuat di Parlimen, tiada lagi peluang sebaik sekarang untuk melihat keadaan itu diterjemahkan daripada impian kepada realiti.
Bagaimana negara akan mendapat manfaat daripada situasi ini? Dasar-dasar yang lebih berkualiti akan terhasil kesan daripada perbincangan dan pendebatan antara pembangkang yang kuat dan kerajaan yang tentunya akan berusaha lebih gigih. Siapa yang mendapat manfaat? Tentunya rakyat! Itulah maksud sebenar demokrasi iaitu the greatest good to the greatest number!
Suatu perkara lagi yang menjadi teras kepada minat saya dalam politik adalah untuk melihat perjuangan-perjuangan yang lebih berpusatkan dasar-dasar yang memberi manfaat maksimum kepada rakyat terbanyak dan ianya bukan hanya terletak kepada populariti seseorang personaliti politik tertentu.
Akhir sekali, saya rasa sudah jelas disini bahawa amalan demokrasi harus dan wajib diperjuangkan selagi ianya relevan dan berlandaskan ketetapan yang dianjurkan oleh agama tidak kiralah agama Islam, Hindu, Kristian mahupun Buddha. Sebarang tindakan ataupun usaha untuk membelakangkan demokrasi demi mencapai cita-cita peribadi seharusnya tidak berlaku dalam keadaan negara kita yang sedang melalui proses pematangan dari segi politik. Terlalu banyak yang risiko yang akan dihadapi oleh negara jika amalan demokrasi sihat tidak lagi menjadi agenda utama , lebih-lebih lagi apabila pujukan ‘kuasa’ yang amat sangat.
Tajuk artikel ini diambil sempena lagu kebangsaan Singapura iaitu ‘Majulah Singapura’, untuk direnungkan oleh pembaca budiman/wati sekalian.
Posted by ruzaimi ramza
Posted by ruzaimi ramza
Posted by ruzaimi ramza