Ekspatriat: Hak Rakyat, Tanggungjawab kita

Seringkali golongan pemuda-pemudi Malaysia yang mendapat peluang untuk belajar ataupun bekerja di luar negara di sogok dengan hamburan pujian dan harapan tinggi menggunung yang mengatakan kita bakal menjadi pemimpin generasi masa hadapan dan akan terlibat secara aktif dan langsung dalam memacu ekonomi negara pada tahun-tahun mendatang. Sebagai contoh lebih 10 000 warganegara Malaysia berada di United Kingdom manakala lebih 2 500 sedang menuntut ataupun berkhidmat di Ireland. Masing-masing mempunyai kepakaran dan potensi yang besar dalam bidang yang diceburi diantaranya perubatan, perdagangan, bidang perakauanan, ekonomi, politik dan lain-lain. Maka tidak hairanlah jika BBC UK menggelar kita harimau ekonomi rantau Asia Tenggara! Persoalannya adakah golongan ekspatriat ini maklum dan sedar akan tanggungjawab dan harapan yang telah diletakkan di bahu masing-masing? Apakah pendirian kita terhadap isu-isu semasa yang sedang berlaku di dalam negara?

PERANAN

Walaupun dari segi maksud ekspatriat bermakna golongan pekerja mahir yang berkhidmat di perantauan, biarlah kita memasukkan sekali golongan pelajar kerana rata-rata mengikuti kursus-kursus kritikal yang mempunyai permintaan yang tinggi di dalam dan luar negara. Majoriti rakyat Malaysia yang berada di luar negara juga adalah terdiri daripada golongan pelajar. Sememangnya sudah tidak dapat dinafikan lagi tugas seorang pelajar adalah untuk belajar dan belajar adalah tugas utama ataupun ‘core business’ seseorang pelajar itu, namun terletak di setiap bahu mereka yang berada di luar negara lebih-lebih lagi yang dibiaya oleh agensi-agensi kerajaan dan GLC satu tanggungjawab untuk menambah nilai (added value). Keprihatinan pihak kerajaan menghantar pelajar-pelajar ke luar negara hendaklah dijustifikasikan dengan ilmu tambahan yang di dalam ataupun di luar skop pengajian kursus yang sedang diikuti. Seperti contoh; bagi mereka yang sedang mengambil jurusan ekonomi, peluang berada di luar negara seharusnya digunakan untuk mendekatkan lagi diri mereka dengan pakar-pakar ekonomi terkemuka dunia yang rata-ratanya berpusat di Eropah. Sudah menjadi lumrah dan kebiasaan universiti-universiti tempatan di UK mahupun Ireland untuk menjemput penceramah-penceramah jemputan yang terdiri daripada kenamaan dalam bidang-bidang yang menjadi teras dalam kemajuan sesuatu negara. Ambil peluang dan lebarkan jalinan persahabatan (networking) supaya apabila tiba masanya kelak, rakan-rakan kita sewaktu zaman pengajian dari England, Ireland, Perancis, Scotland yang sudah pun menjadi pakar-pakar dalam bidang tertentu dapat membantu!

TANAH BERDAULAT, MINDA MASIH DIJAJAH

“Kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya”

Wujud satu stigma yang terlekat di dalam pemikiran kita akibat sejarah kita yang dijajah selama lebih 400 tahun oleh kuasa-kuasa asing seperti Jepun dan Inggeris, iaitu kita masih memandang tinggi terhadap mereka sehinggakan kita lupa bahawa kita yang baru sahaja 50 tahun merdeka telah mengatasi mereka dalam banyak perkara. Sebut sahaja Menara Berkembar Petronas, satu dunia tahu ia berada terpacak di Kuala Lumpur. Menghairankan sekali kerana kita masih belum mampu bebas dari kepompong penjajahan minda yang telah lama menghantui kita. Rakyat kita terkenal dengan sikap merendah diri yang pada dasarnya sangat terpuji, akan tetapi dalam sesetengah perkara kita harus tunjukkan ‘belang Harimau Malaya’ kita. Sesuai dengan peribahasa diatas, jika kita tidak dapat membebaskan dari belenggu penjajahan minda ini, kita tidak akan mampu untuk melangkah maju pada kadar yang lebih pantas. Sudah terlalu lama kita jalan menunduk, berhenti dan tunduk hormat pada penjajah, sudah tiba masanya kita tunjukkan di atas tanah bekas penjajah ini sendiri, siapa sebenarnya kita, orang Tanah Melayu yang disepak terajang, dianiaya dan telah dirompak kedaulatan tanahair dan hasil bumi yang tercinta. Saudara Najmil telahpun menjadikan pemimpin-pemimpin di dalam Parlimen Britain sebagai ‘anak murid’ beliau apabila membentangkan kertas kerja PhD dalam kepakaran nanoteknologi pada 2005. Pencapaian tersebut adalah merupakan titik tolak kepada ‘pembebasan penjajahan minda’ golongan ekspatriat rakyat Malaysia.

PELAJAR TAJAAN KERAJAAN

Sehingga kini, melalui pengamatan dan pertukaran pendapat antara rakan-rakan dan masyarakat tempatan di luar negara, kita sebenarnya masih lagi jauh panggang dari api. Walaupun dari segi akademik mahupun di tempat kerja, rakyat Malaysia menerima pujian dan penghormatan yang tinggi daripada pensyarah dan juga majikan atas kepatuhan dan sikap hormat kepada mereka. Ini merupakan satu kelebihan yang ada pada kita. Namun kita tidak seharusnya lalai dengan pujian yang diterima dan kita juga hendaklah tidak terlalu berpuas hati dengan segulung ijazah yang diperolehi diakhir pengajian sekiranya hanya skrol tamat pengajian yang dibawa pulang. Adakah pelaburan pihak kerajaan keatas kita berbaloi hanya dengan kejayaan dalam bidang akademik? Peluang yang diperolehi hendaklah digunakan dengan sepenuhnya, apa gunanya jika hanya duduk terperuk dirumah, bersikap katak dibawah tempurung, dan menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan didalam komuniti warga Malaysia yang kecil di luar negara? Lebih teruk lagi, ada di kalangan pelajar tajaan kerajaan yang anti kerajaan, tak cukup dengan itu menghasut dan mempengaruhi orang-orang lain supaya turut sama membenci kerajaan. Peluang untuk menyambung pelajaran di luar negara bukan hak mutlak seseorang pelajar itu, sebaliknya ianya adalah peluang yang disediakan oleh kerajaan dan diperakui oleh golongan-golongan pembayar cukai! Pelajar-pelajar luar negara baru sahaja menerima kenaikan elaun sara hidup yang tinggi, jangan sampai pembayar-pembayar cukai membuat perarakan besar-besaran untuk memanggil kita semua balik atas alasan tiada beza sekiranya pelajar-pelajar di luar negara ini dihantar ke IPTA dan IPTS dalam negara. Tanggungjawab kita adalah untuk menunaikan hak pembayar cukai iaitu untuk pulang berkhidmat kepada negara. Hanya melalui cara itulah kita dapat membayar balik kepada mereka. Ada yang melemparkan komen yang keras terhadap golongan pelajar-pelajar tajaan kerajaan di luar negara oleh mereka yang membayar cukai. Antaranya ‘ Apa hak mereka untuk bersenang lenang dengan duit cukai yang dibayar oleh kami? dan ‘ Not only they complaint a lot, they also are begging the taxpayers money for their own sake’…

(Bersambung dalam bahagian ke-2)

About these ads

One response to “Ekspatriat: Hak Rakyat, Tanggungjawab kita

  1. saya suka pandangan dan idea anda dalam membicarakan pandangan mengenai ekspatriat. harap pelbagai input dapat saya jadikan panduan dalam kehidupan saya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s